1,000 anak-anak AIM dapat bantuan kelengkapan sekolah 

1,000 anak-anak AIM dapat bantuan kelengkapan sekolah 

AHMAD Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) ketika menghadiri majlis penyerahan set bantuan persekolahan kepada anak Sahabat Usahawan AIM di Dewan Konvensyen Perda, Pulau Pinang, hari ini. - FOTO/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TADEK GELUGOR: Seramai 1,000 anak-anak Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di negeri ini menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program CSR Kembali Ke Sekolah. 

Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, anak-anak yang berusia antara tujuh sehingga 12 tahun itu menerima pakaian seragam, alat tulis, beg dan kasut sekolah sebelum sesi persekolahan bermula bulan depan. 

Ujar beliau, pemilihan dibuat berdasarkan anak-anak daripada keluarga B40 dan kita bantu untuk meringankan beban sahabat yang pendapatannya terjejas ketika pandemik Covid-19. 

“Program ini menyasarkan seramai 1,000 murid bagi setiap negeri menerusi peruntukan keseluruhan yang bernilai kira-kira RM2 juta. Sehingga kini, terdapat 370,000 Sahabat Usahawan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di Dewan Konvensyen Perda, di sini hari ini. 

Program Kembali Ke Sekolah Anak Sahabat AIM Pulau Pinang turut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. 

Sementara itu, Intan Nazira Jasni, 38, berkata, bantuan yang diterima memudahkan lagi urusan persekolahan dua anaknya. 

“Kita semua tahu kos barangan persekolahan kini semakin meningkat dan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya sekeluarga. Saya menjalankan perniagaan katering dan sepanjang pandemik ini, pendapatan memang terjejas dan diharapkan keadaan dapat kembali normal tidak lama lagi,” katanya. 

Bagi Nur Ashikin Sabarudin, 33, pula berkata, anaknya, Muhammad Arfan Hakimi Mohd Azhar, 10, gembira kerana terpilih menerima bantuan terbabit. 

“Bagaimanapun, perasaannya untuk kembali ke sekolah masih bercampur-baur kerana sebelum ini sudah terbiasa dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN