KANGAR: Pakatan Harapan (PH) merangkumi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengekalkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Kerjasama tersebut mungkin menjadi formula terbaik bagi mendepani Perikatan Nasional (PN) sekali gus mengekalkan penguasaan kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya berkenaan.
Namun, antara cabaran kerjasama itu pastinya melibatkan soal agihan kerusi di mana calon UMNO sebelum ini juga banyak bertanding di kerusi majoriti pengundi Melayu yang turut menempatkan calon Amanah manakala MCA dan MIC di kawasan DAP serta PKR di kebanyakan kerusi campuran.
Dalam PRU15, Amanah yang meletakkan calon bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara hanya mampu mempertahankan lapan kerusi manakala PKR yang meletakkan 72 calon parti itu pula hanya menguasai 30 kerusi. DAP yang bertanding di 55 kerusi Parlimen selesa menang 40 kerusi manakala BN pula hanya menang 30 kerusi dalam PRU15.
Secara keseluruhan dalam pilihan raya itu, PH menang 82 kerusi, PN (74 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi dan Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya memenangi tiga kerusi.
Jika mengikut formula kerusi dimenangi dikekalkan calon dari parti sedia ada dan yang kalah dalam PRU15 berada di tempat kedua diberi ruang kembali bertanding, pastinya Amanah terkesan.
Bagaimanapun, Amanah dan UMNO masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri terutama di kerusi majoriti Melayu.
Mengulas perkembangan tersebut, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, dalam soal pengagihan kerusi sememangnya sentiasa mempunyai cabaran.
Namun beliau percaya ia mampu diselesaikan dengan baik seperti PH dan BN bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
Katanya, rundingan sentiasa terbuka dalam soal pengagihan kerusi sesama parti yang membentuk kerjasama tersebut.
“Formula pertama, penyandang akan kekal di sesuatu kerusi itu manakala kedua, kita tidak ada prinsip yang mana parti yang kalah di kedudukan kedua dalam pilihan raya sebelum ini akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Ia bergantung kepada kekuatan parti masing-masing yang mampu membawa kemenangan dan mempunyai kelebihan di kerusi terbabit. Tidak semestinya juga kerusi majoriti pengundi Melayu, UMNO sahaja bertanding.,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. – UTUSAN










