Nasib UMNO lebih baik bersama PN

Nasib UMNO lebih baik bersama PN

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan UMNO dilihat lebih terjamin sekiranya mengambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau yakin UMNO mampu memenangi lebih 40 kerusi Parlimen berbanding 30 kerusi yang dimiliki hari ini sekiranya mengambil tindakan berani itu.

“Kalau UMNO dapat 40 kerusi, Pas boleh bertahan dengan 40 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat 30 kerusi, PN sudah ada 110 kerusi. Ditambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, PN tiada masalah sebenarnya untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin juga menyatakan perkara sama dan yakin kerjasama antara parti itu dan UMNO masih boleh dihidupkan kembali melalui Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk pada 14 September 2019 susulan Himpunan Penyatuan Ummah.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, sekiranya bersama PN, UMNO boleh bertanding di kerusi yang dimenanginya semasa PRU lalu.

“Kedua, sudah tentu UMNO akan bertanding di tempat yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH), tetapi berada di kedudukan kedua pada PRU lalu.

“Ada juga kerusi UMNO kalah tipis dengan PH, UMNO boleh bertanding dalam PN dan menang dengan selesa. Begitu juga dengan tempat yang PN menang, tetapi UMNO ada tokoh (calon boleh menang) di sana, kita boleh bincang, tiada masalah,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, sekiranya UMNO masih kekal bersama PH, parti itu tidak mempunyai harapan bagi mencalonkan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.

Situasi itu lebih sukar katanya, kerana jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki UMNO tidak setanding jumlah yang diperoleh PKR dan parti komponen PH lain.

“Kalau hendak menjadi Perdana Menteri, UMNO tidak boleh bersama dengan PH.

“Sebab itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan dengan tegas pilihan raya akan datang, kemungkinan besar akan bersama dengan PH. Namun, rundingan selepas itu akan melihat pula bagaimana untuk membentuk kerajaan. Ini mesej tegas kepada PH.

“Ertinya, UMNO sendiri pun dalam keadaan yang agak kurang pasti bagaimana keadaan masa depan parti mereka,” katanya.

Mengulas desas-desus hasrat MIC yang mahu keluar daripada Barisan Nasional (BN), beliau berkata, baik MIC mahupun MCA, kedua-dua parti itu perlu memulakan langkah segera sekiranya merasakan sudah tidak mendapat tempat dalam BN.

“Semakin lewat mereka keluar daripada perahu yang karam (PH), maka semakin tipis peluang untuk mereka mendapatkan tempat dalam perahu yang sedang berlayar (PN),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN