PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya akan membuat pertimbangan sewajarnya mengenai pelawaan untuk bertanding mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menjelaskan perkara itu, Shahelmey berkata, beliau pada ketika ini diberikan masa dan ruang oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor untuk membuat pertimbangan tersebut memandangkan kedudukannya yang merupakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sabah.
“Dia bagi ruang kepada saya untuk membuat keputusan dan tawaran pelawaan itu kita perhalusi. Dalam masa yang sama juga, kita perlu dengar suara rakyat di kawasan kerana yang mengundi adalah pengundi di kawasan Tanjung Keramat. Jadi, saya pun mempunyai jentera untuk mendengar keputusan.
“Itu adalah pendapat mereka (GRS) dan sekiranya meyakinkan, kita akan buat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Hajiji yang menjelaskan Shahelmey akan membantu GRS pada PRN akan datang.
Malah, Hajiji juga menyatakan keyakinan bahawa ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Putatan akan ditawan GRS dalam PRN iaitu Tanjung Keramat, Petagas dan Tanjung Aru.
Mengulas tentang kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putatan yang mewakili parti BN, Shahelmy berkata, meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar telah membuat keputusan yang beliau tidak akan bertanding mewakili BN, namun yang menandatangani watikah adalah Presiden.
“Memang tidak dipanggil (BN) kerana Bung adalah Pengerusinya, jadi susah dan tidak akan ada perbincangan. Bung pun sudah cakap Shahelmy tidak akan ditandingkan, jadi itu sudah menjadi keputusan BN negeri Sabah.
“Di situ pun tutup sudah, tetapi yang tandatangan watikah calon BN adalah Presiden,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini Shahelmy menjelaskan memang tiada sebarang perbincangan dengan BN termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid. – UTUSAN










