PETALING JAYA: Terdapat beberapa nama besar dikenal pasti menerima dana berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi perkara itu belum pernah didedahkan mana-mana pihak.
Perkara tersebut terdedah ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha melakukan pemulihan aset 1MDB sama ada di dalam dan luar negara melibatkan beberapa nama `besar’ yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Antara aset 1MDB di luar negara seperti di Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong bernilai 20.5 bilion.
Pembabitan individu-individu tersebut dikuatkan lagi, apabila Commercial Affairs Department (CAD) Singapura pada 12 November lalu, membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) Kementerian Kewangan Malaysia bernilai RM 3,617,513.91 (AS$ 864,813.27).
Sebelum itu, Singapura memulangkan aset sebanyak RM64.42 juta (AS$15.4 juta) membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Datuk Tawfiq Ayman dan rakan niaganya Samuel Goh. Tawfiq adalah suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap Tawfiq berhubung dakwaan beliau menerima dana berkaitan 1MDB.
Kes tersebut telah dilengkapkan dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dalam masa terdekat.
Kata sumber itu lagi, siasatan agensi itu lebih menumpukan berhubung penerimaan wang ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura yang diperoleh hasil daripada terbitan RM5 bilion oleh AmBank pada tahun 2009.
Siasatan turut dijalankan SPRM berhubung dakwaan salah laku membabitkan Zeti sendiri dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
“Ini kerana, setiap pelaburan melibatkan dana 1MDB ketika itu sudah pasti berada dalam pengetahuannya. Malah, Nor Mohamed pula antara individu yang bertanggungjawab membawa kertas kerja untuk diluluskan oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.
“Nik Faizal pula, dia yang bertanggungjawab menguruskan kesemua akaun dan kewangan melibatkan Najib, jadi sudah pasti mereka mengetahui setiap perkara yang berlaku,” kata sumber itu di sini semalam.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, SPRM melakukan siasatan terhadap individu-individu tersebut di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Penggubahan Wang Haram 2001.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM, TPj Mohammad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan daripada sebuah Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak agar siasatan dilakukan terhadap Zeti dan Nor Mohamed pada 22 Disember lalu.
Kata Zamri, pihaknya juga menerima laporan yang dibuat Najib pada Oktober tahun lalu terhadap bekas pengurus kanan Goldman Sachs, Tim Leissner.
“Saya sahkan, siasatan telah dijalankan berhubung kedua-dua aduan berkenaan,” katanya.- UTUSAN










