UiTM paling ramai Undi18 - Utusan Malaysia

UiTM paling ramai Undi18

KAMPUS UiTM di SHAH ALAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) UiTM menjadi institusi pengajian tinggi yang mempunyai bilangan pengundi muda 18 dan 20 tahun paling ramai iaitu 185, 400 orang atau mewakili 15.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi muda 1.2 juta orang di seluruh negara.

Jumlah pelajar tersebut membabitkan di semua 35 cawangan UiTM di seluruh negara manakala kakitangannya seramai 18,347.

Angka mahasiswa di UiTM menyamai jumlah pelajar di 19 universiti awam (UA) lain atau separuh daripada kira-kira 400,000 mahasiswa di UA di seluruh negara.

Jika Parlimen dibubarkan dan Pilihanraya Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, pelajar UiTM akan menjadi penyumbang besar iaitu 15.5 peratus dalam kalangan mahasiswa UA yang merupakan satu pertiga daripada 1.2 juta Undi18 yang didaftarkan secara automatik.

Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan, 14 Januari ini adalah tarikh pemerakuan dan pewartaan pengundi 18 dan 20 tahun termasuk 4.6 juta pengundi yang belum berdaftar sebelum ini berusia 21 tahun dan ke atas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, melihat kepada angka pelajar tersebut, UiTM secara tidak langsung memikul tanggungjawab besar untuk mencetus kesedaran mengundi dalam kalangan mahasiswa menunaikan tanggungjawab setiap kali pilihan raya.

 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahib

Menurut beliau, UiTM bukan sekadar memainkan peranan sebagai memberikan pendidikan tinggi kepada bumiputera tetapi turut memupuk mereka mengambil bahagian dalam proses pembentukan negara dan kepimpinannya.

“Kesedaran mengundi bukan sahaja perlu dipupuk dalam kalangan mahasiswa, bahkan kakitangan universiti yang belum pernah mengundi turut perlu memainkan peranan besar tersebut.

“Kita memang akan melihat bagaimana pelajar dapat menyedari proses mengundi amat penting kepada mereka. Kita tahu pada hari ini setiap orang muda ada cita-cita dan wawasannya dan kita tidak boleh menafikan perkara demikian.

“Jadi, untuk mereka memastikan cita-cita dan harapan mereka dapat dilaksanakan dan jadi kenyataan, mereka perlu memilih pemimpin yang boleh memberikan kepada mereka kestabilan, peluang dan juga idealisme yang boleh membina dan menjayakan apa yang mereka impikan dalam kehidupan.

“Sebenarnya, kalau kita lihat soal pengundian ini, ia berkait rapat dengan kehidupan. Kalau katalah mereka mahukan kehidupan di negara ini maju dan kedudukan yang stabil, mereka perlu turun mengundi dan menyatakan pendirian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada ulai 2019, Undi18, pendaftaran pengundi secara automatik dan kebenaran belia berumur 18 tahun bertanding diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat dengan disokong dua pertiga Ahli Dewan Negara.

Susulan itu pada September tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan pilihan raya di negara ini mula menggunakan pendaftaran pengundi secara automatik bermula Februari ini.

Beliau memaklumkan SPR sedang mempersiapkan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung usia kelayakan mengundi dan pendaftaran secara automatik seperti diluluskan di Parlimen.

Mengulas lanjut, Mohd. Sazili yang juga Pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat memberitahu, UiTM turut berdepan cabaran untuk memastikan mahasiswa yang diberi hak mengundi bijak membuat keputusan selepas menilai maklumat-maklumat yang diterima.

Menurut beliau, ini kerana pemilihan calon bertanding akan menentukan hala tuju negara selepas ini.

“Ada sebahagian berminat dengan ideologi tertentu yang dirasakan sesuai dengan aspirasi mereka. Namun demikian, saya melihat juga dari segi aspek lain yang mana kadang-kadang mahasiswa juga melihat kepada isu yang berlaku, diperjuangkan dan juga melihat bagaimana dibawa oleh parti politik atau pemimpi untuk menentukan tahap sokongan mereka.

“Jadi, saya boleh nyatakan kadang-kadang sokongan mereka terhadap parti politik adalah berlandaskan isu, selain daripada sokongan berdasarkan kepada semangat kepartian.

“Saya berpendapat, isu menjadi peranan penting perlu diperhalusi sebab generasi hari ini mempunyai akses maklumat yang begitu luas dan boleh melihat sesuatu yang dibangkitkan, dibincangkan dan diperjuang untuk diselesaikan,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN