PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan tidak wujud dua kelompok dalam UMNO walaupun jawatan Presiden dan Perdana Menteri diterajui oleh pemimpin parti yang berbeza ketika ini.
Malah menurut beliau, perbezaan itu sebenarnya memperkukuhkan parti terutama ketika perlu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
“Apabila ada pelantikan Perdana Menteri daripada Naib Presiden sedangkan selalunya jawatan itu disandang oleh Presiden, kita tidak nampak ada dua kelompok.
“Apabila Naib Presiden adalah Perdana Menteri, jadi Presiden akan uruskan parti. Apa pun kita berada atas satu landasan untuk menuju ke PRU-15.”
“Jadi saya tak nampak satu masalah walaupun orang berlainan menjawat jawatan PM dan parti. Kita lihat juga kita tiada adu domba apa-apa dalam parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan baucar sumbangan pakaian dan peralatan persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di Kuala Nerang di sini hari ini.
Menurut beliau, apa yang penting adalah penyatuan dan konsensus dalam parti untuk berdepan dengan PRU-15 atau Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ditanya PRN Johor, kata beliau, parti di peringkat Pusat sentiasa bersiap sedia biar apa pun keputusan yang dicapai oleh UMNO Johor.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN), parti yang sentiasa bersedia. Apa juga keputusan UMNO Johor kita sentiasa bersedia,” katanya.
Ketika ditanyakan adakah UMNO akan bergerak solo atau menjalinkan kerjasama dengan gabungan parti lain dalam PRN itu, katanya, perkara itu akan diputuskan secara konsensus dalam parti.
“Solo atau tidak itu terserah kepada keputusan parti. Saya sebagai naib presiden, saya tak berhak bercakap bagi pihak parti, terserah kepada parti.
“Berdasarkan konsesus parti jika kita buat seperti Melaka nak jalan solo kita akan buat macam PRN Melaka. Kalau kita buat sebaliknya jadi kita tak pergi solo,” katanya.- UTUSAN