KUALA LUMPUR: Pekarangan stesen aliran transit ringan (LRT) Bangsar masih lagi lengang susulan peserta himpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap serta-merta masih belum lagi kelihatan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pekarangan di sini hanya dipenuhi pihak berkuasa dan pengamal media.
Setakat pukul 10.30 pagi, masih belum terdapat sebarang pergerakan peserta himpunan itu sama ada daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti politik.
Beberapa anggota polis ditempatkan di kedua-dua arah bagi mengawal sebarang kemungkinan keadaan.
Sebelum ini, sebanyak 30 kumpulan masyarakat dan 11 parti politik menyokong perhimpunan itu.
Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki sebelum ini dijangka mengadakan demonstrasi di jalan raya bermula pukul 11 hari ini bagi menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM itu ditangkap serta-merta.
Jawatankuasa itu turut menuntut supaya proses undang-undang ke atas Azam bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.
Kontroversi membabitkan Azam Baki menjadi pertikaian ramai selepas timbul dakwaan berhubung isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu. – UTUSAN










