PETALING JAYA: Aliran trafik di semua 31 lebuh raya dijangka melonjak hingga 15 peratus atau kepada 4.5 juta kenderaan bermula hari ini hingga 6 Februari depan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, pada hari biasa jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya sekitar 3.5 juta tetapi dalam tempoh musim perayaan dan cuti sekolah ia meningkat kepada 4.5 juta.
Menurut beliau, peningkatan itu akan berlaku apabila purata trafik harian bagi Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) adalah 1.1 juta dan kebiasaannya akan meningkat 1.3 juta ketika hujung minggu atau pada hari-hari cuti am.
“Op Selamat akan dimulakan 28 Januari dan pada hari sama jumlah kenderaan dijangka meningkat kepada 1.6 juta hingga 6 Februari. Op Selamat tahun ini mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.
“Bagi Lebuh Raya Pantai Timur dijangka mengalami peningkatan 190,000 kenderaan memandangkan putara harian kenderaan melalui laluan itu adalah sebanyak 150,000 kenderaan dan begitu juga lebuh raya-lebuh raya lain,” kata beliau semalam.
Mat Kassim berkata, penguatkuasaan secara digitalisasi menggunakan alat pengesanan had laju In-Car Radar’ di sepanjang lebuh raya akan dilakukan dalam penugasan Op Selamat.
Kata beliau, teknologi itu akan digunakan sebagai tambahan kepada operasi penguatkuasaan biasa untuk mengesan kenderaan dipandu melebihi had laju ditetapkan.
“Pada Op Selamat kali ini, PDRM juga akan mengguna alat ‘Intelligent Compound Online Payment System’ (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik.
“Ini termasuk kenderaan terbabit dalam kes jenayah seperti kenderaan curi, klon dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mat Kassim mengingatkan semua pengguna lebuh raya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang menggunakan kemudahan-kemudahan di lebuh raya susulan jangkaan peningkatan trafik itu.
“Semua pengguna disarankan merancang pergerakan dan pastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik dan mampu berada di lebuh raya. Ini kerana, sekiranya kenderaan kita mengalami kerosakan akan mengambil masa lama untuk dibaiki dan perkara ini akan menyebabkan aliran lalu lintas terganggu dan menyebabkan kesesakan,” katanya.
Terdahulu, PLUS dalam kenyataan memaklumkan, jumlah kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) mulai hari ini hingga 6 Februari depan dijangka meningkat mendadak.
Sehubungan itu, orang ramai yang bercadang pulang ke kampung dalam tempoh tersebut perlu merancang perjalanan bagi mengelakkan tersangkut dalam kesesakan.
Antara plaza tol yang bakal meningkat jumlah kenderaan ialah Plaza Tol di Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Ipoh dan Plaza Tol Jawi.
PLUS turut meminta pengguna lebuh raya mengikuti Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kerana jumlah trafik harian dijangka meningkat bagi tempoh 28 Januari hingga 6 Februari.
Pengguna dari Lembah Klang yang ingin melakukan perjalanan ke utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak sesuai memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.
Ini juga terpakai kepada mereka yang menghala ke Johor. Bagi destinasi berhampiran dengan Lembah Klang dan negeri lain, pengguna perlu merancang perjalanan mereka dengan memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari.- UTUSAN











