Sindiket ‘keldai akaun’ tumpas, sepasang kekasih antara 7 diberkas - Utusan Malaysia

Sindiket ‘keldai akaun’ tumpas, sepasang kekasih antara 7 diberkas

ABDUL MAJID Mohd. Ali (tengah) menunjukkan wajah suspek dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, hari ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang kekasih antara tujuh individu yang diberkas selepas dipercayai menjalankan sindiket keldai akaun dengan memperdayakan golongan ‘terdesak’ menyerahkan kad (Mesin Teler Automatik) ATM, minggu lalu.

Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 40 tahun diberkas dalam empat serbuan berasingan di Alor Gajah serta Selangor pada 4 dan 5 Januari lalu. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan selepas seorang mangsa yang merupakan tukang kebun membuat laporan polis pada 3 Januari 2022.

Katanya, menurut laporan dibuat mangsa, ahli sindiket telah menawarkan peluang pekerjaan kepadanya, namun meminta menyerahkan kad ATM untuk memperoleh upah sebanyak RM300.

“Suspek yang merupakan pasangan kekasih berusia 21 dan 30 tahun dipercayai telah memperdayakan seorang tukang kebun berusia 30 tahun dengan menyuruhnya menyerahkan kad ATM beserta nombor pin pada 21 November lalu.

“Pengadu kemudian menyerahkan dua keping kad ATM miliknya sebelum diberikan upah 300 bagi setiap kad,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini. 

Tambahnya, suspek juga meminta pengadu mencari lima lagi kenalan yang lain untuk mendapatkan upah tersebut. 

“Suspek kemudian turut membawa tukang kebun berkenaan untuk bertemu dengan dua ahli sindiket di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor. 

“Pengadu yang berasa curiga dengan kegiatan tersebut kemudian membuat laporan polis,” katanya. 

Ujarnya, hasil maklumat tersebut sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah melakukan serbuan di Alor Gajah dan tiga operasi susulan. 

Katanya, polis turut merampas 58 keping kad ATM pelbagai bank, pelbagai jenis mata wang iaitu RM9,290 dan AS$1,000 dan Euro€50 dalam serbuan tersebut. 

“Kita percaya sindiket ini adalah sindiket merentasi sempadan negara kerana mata wang negara asing turut ditemui di lokasi. 

“Penahanan sindiket ini turut menyelesaikan 36 kes penipuan dalam talian membabitkan 36 mangsa di seluruh negara dengan jumlah kerugian keseluruhan RM466,380.25,” katanya.

Abdul Majid berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya