Siasat Azam Baki bukan siasat Rakyat - Penganjur himpunan - Utusan Malaysia

Siasat Azam Baki bukan siasat Rakyat – Penganjur himpunan

PESERTA himpunan #TangkapAzamBaki berkumpul di Jalan Bangsar bagi mendesak Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jawatankuasa Bertindak Himpunan Mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki Ditangkap menggesa pihak berkuasa menjalankan siasat ke atas individu berkenaan dan bukannya ke atas rakyat.

Menurut jawatan kuasa itu, ini kerana hampir 50 aktivis anak muda telah dan akan dipanggil oleh pihak polis berikutan himpunan yang diadakan pada 22 Januari lepas.

Malah, katanya, pihak berkuasa juga seolah-olah sedang menakutkan rakyat dengan mengumumkan bahawa mereka sudah mengenal pasti 94 aktivis dan 12 orang awam yang menyertai perhimpunan aman tersebut.

“Jawatankuasa Bertindak ‘Tangkap Azam Baki’ melihat siasatan ini adalah satu bentuk intimidasi, keterlaluan dan membazir sumber pihak polis.

“Yang sepatutnya disiasat adalah Azam dan skandal saham ‘adik’ bellau. Itu sebenarnya tuntutan rakyat, bukannya mereka yang hanya berhimpun secara aman menyatakan tuntutan yang sah.

“Sehingga sekarang masih tiada apa-apa penjelasan dari kenyataan yang bercanggah ini setelah lebih seminggu pendedahan dari Suruhanjaya Sekuriti (SC). Azam mash bebas di puncak kekuasaan sedangkan integriti beliau sedang dipersoal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

22 Januari lepas, kira-kira 400 orang terdiri daripada anak muda, NGO dan parti politik berhimpun di pekarangan stesen aliran transit (LRT) semalam bagi menuntut tiga perkara susulan susulan kontroversi dikaitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu baru-baru ini.

Himpunan #TangkapAzamBaki itu menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM itu ditangkap serta-merta, proses undang-undang ke atas Azam bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.

Ini kerana kontroversi membabitkan Azam menjadi pertikaian ramai selepas timbul dakwaan berhubung isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu.

Jawatankuasa bertindak itu menambah, selagi Ketua Pesuruhjaya SPRM itu masih berada di kerusi emas tersebut, maka selagi itu rakyat tidak mungkin mempercayai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mencegah rasuah dan korupsi yang semakin membarah dalam negara.

Justeru, katanya, pihaknya sekali lagi menggesa dengan tegas agar Azam ditangkap supaya proses siasatan dapat dilakukan dengan segera.

“Kepercayaan rakyat sedang terhakis dan semakin tidak percaya kepada siasatan SPRM dan diburukkan lagi dengan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2021 yang jatuh ke tanga 62
berbanding tangga ke 51 pada tahun 2019.

“Ini sangat berbahaya kepada negara apabila agensi-agensi penguatkuasaan sepenting ini gagal memberi respon dengan jujur, telus dan cepat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN