Sekat Omicron, elak kesihatan negara lumpuh - Utusan Malaysia

Sekat Omicron, elak kesihatan negara lumpuh

KUARANTIN jemaah umrah ditanggung oleh kerajaan. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem kesihatan negara berpotensi lumpuh dalam tempoh tiga bulan akan datang jika langkah mengekang penularan varian baharu Covid-19, Omicron tidak dilakukan lebih awal termasuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan jemaah umrah.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kebanyakan negara-negara Eropah sedang mengalami peningkatan serius kemasukan pesakit ke hospital apabila varian itu menyebarkan virus lebih pantas sekali gus menjejaskan sistem kesihatan negara-negara tersebut.

Menurut beliau, lebih membimbangkan varian baharu itu sangat berisiko `menyerang’ golongan warga emas dan kanak-kanak sekali gus meningkatkan jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima akhirnya angka kematian negara akan meningkat seperti tahun lalu.

Justeru, kata Sharifa, tindakan Kementerian Kesihatan menangguhkan perjalanan umrah adalah sebagai satu langkah waspada yang wajar bagi mengelakkan situasi buruk sepertimana di Eropah.

“Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di samping terdapat jemaah kita tidak melakukan langkah sewajarnya sehingga mendedahkan diri mereka kepada jangkitan Covid-19.

“Malah, sebaik pulang ke tanah air, mereka kemudian menyebarkan virus ini. Jadi sangat tepat keputusan kerajaan ini. Jika tidak dilakukan segera, memang dalam tempoh tiga hingga enam bulan mendatang sistem kesihatan negara akan lumpuh sekiranya tiada sekatan perjalanan dan memastikan mereka yang pulang dikuarantin di pusat khas,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah rakyat negara ini bermula 8 Januari sehingga dimaklumkan kelak.

Selain itu, kerajaan menetapkan kuarantin wajib dikenakan di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari.

Mengulas lanjut, Sharifa berkata, langkah kuarantin di rumah tidak sesuai kerana boleh menyebabkan penularan kes dalam kalangan masyarakat dan sanak-saudara yang mengunjungi jemaah umrah yang sedang dikuarantin.

Katanya, meskipun tidak bergejala tetapi sebenarnya mereka tanpa sedar positif Covid-19 pada hari kelima dan lebih membimbangkan jika dijangkiti varian Omicron.

“Sebenarnya, patut lebih awal lagi mereka tidak patut dikuarantin di rumah, sebab ada saudara-mara berkunjung. Patut ada pusat kuarantin khas dan semua balik kena buat ujian genom,” katanya.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, walaupun sudah divaksin, namun seseorang itu tetap berisiko dijangkiti varian Omicron,

Bagaimanapun, menurut beliau, suntikan vaksin masih boleh memberi perlindungan dan mengurangkan risiko jangkitan teruk berbanding jika tidak mengambil vaksin.

Beliau berpendapat, melihat kepada perkembangan sekarang, formulasi baharu vaksin perlu dikeluarkan segera.

“Beberapa syarikat sebenarnya telah mula menjalankan penyelidikan dan proses pembuatan tidak mengambil masa yang lama seperti ketika vaksin mula dikeluarkan.

“Vaksin Covid-19 dilihat akan menjadi seperti vaksin influenza, yang mana formulasi baharu dicipta setiap tahun berdasarkan varian yang mendominasi,” katanya.- MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN