Rombak Kabinet mungkin khabar angin - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Rombak Kabinet mungkin khabar angin – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Tiada  keperluan untuk Kabinet kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dirombak pada masa ini. 

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kalangan menteri dan timbalan menteri dilihat berjaya menggalas tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik. 

Menurut beliau, desas-desus perubahan dalam barisan Kabinet itu berkemungkinan hanya khabar angin kerana beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu. 

“Saya tidak dengar (tentang rombakan), kebiasaannya kalau ada apa-apa Perdana Menteri akan berbincang dahulu, tetapi apabila tiada maklumat, mungkin itu khabar angin. 

“Saya rasa tidak perlu rombakan kerana masing-masing (menteri) masih menjalankan tugas dengan baik, tetapi terpulang kepada Perdana Menteri jika mahu membuat penambahbaikan,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, setelah hampir lima bulan menerajui Kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dijangka melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.

Sumber memberitahu, rombakan berkenaan masih dalam proses tawar-menawar untuk memutuskan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan.

Bagaimanapun, kelmarin  Ismail Sabri berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada mulutnya berhubung perkara itu, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Abdul Hadi menyerahkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri untuk menentukannya. 

“Kalau Perdana Menteri merasakan perlu pembantu, terpulang kepada beliau kerana beliau yang menjalankan tugas,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya