Pelancong tinggalkan Taman Negara - Utusan Malaysia

Pelancong tinggalkan Taman Negara

PENGUNJUNG Taman Negara menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Tembeling ke jeti Kampung Kuala Tahan, semalam. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 45 pelancong tempatan yang menginap di beberapa pusat inap dan chalet mula keluar secara berperingkat berikutan paras air Sungai Tembeling naik sejak pukul 7 pagi semalam di Kuala Tahan dekat sini.

Menurut bacaan tempat sukat air di Kuala Tahan pada pagi ini, air mencecah 64.37 meter iaitu paras waspada, hanya empat meter sahaja lagi ke paras 68 meter, iaitu paras bahaya pertama.

Ketua Polis Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, berasaskan situasi air Sungai Tembeling naik bermula di perkampungan Hulu Tembeling petang kelmarin sehingga pagi semalam di Kuala Tahan, polis meminta kerjasama pelancong keluar dari pusat inap kawasan peranginan hutan tropika itu.

“Kita bimbang berasaskan trend paras air menaik dan arus deras sungai ke hilir sehingga tengah hari semalam dikhuatiri jalan utama ke Taman Negara seperti di Simpang Paya Garok dan Kampung Merting akan ditenggelami banjir.

“Sebab itulah polis dengan kerjasama pengusaha pusat inap dan penggiat ekopelancongan di Taman Negara mengarahkan pelancong tempatan keluar segera ke bandar Jerantut dan seterusnya pulang ke destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Mazlan, polis sudah pun memantau pergerakan pelancong berkenaan keluar bermula pagi semalam dengan bantuan pengusaha pusat inap masing-masing.

“Segala operasi mengeluarkan mereka berjalan dengan lancar dan sehingga petang ini kesemua pusat inap dan chalet di Taman Negara termasuk di Kampung Kuala Tahan sudah tidak berpenghuni lagi.

“Saya berterima kasih kepada pengusaha pusat inap, penggiat ekopelancongan serta agensi kerajaan di sini yang sangat komited memberikan kerjasama serta membantu usaha mengeluarkan pelancong dari taman ini,” katanya.

Mazlan menambah, dalam kejadian banjir yang berlaku pada 17 Disember lalu, seramai 158 orang pelancong tempatan terkandas di beberapa pusat inap Taman Negara, namun berjaya dikeluarkan menerusi bantuan pengusaha dan pihak berkuasa.

“Saya berharap pelancong tempatan perlu merancang perjalanan ke Taman Negara pada masa akan datang khususnya ketika selepas musim banjir dan cuba mengelakkan percutian pada musim tengkujuh,” ujarnya. – UTUSAN

Kapsyen

SEBAHAGIAN daripada pelancong tempatan menaiki bot penambang untuk menyeberangi Sungai Tembeling dari sebuah chalet Taman Negara untuk keluar pulang ke jeti Kampung Kuala Tahan dan pulang ke kampung masing-masing. – FOTO/HARIS FADILAH AHMAD

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN