JELEBU: “Saya meminta mereka panjat pokok jambu, pokok langsat dan pokok rambutan di laman rumah. Mereka berpaut di tiga pokok itu sehingga pukul 7 pagi keesokannya.”
Pengalaman yang dilalui Abd. Ghafar Ibrahim, 57, itu bersama 15 ahli keluarga lain itu tidak dapat dilupakan sepanjang hayat ketika kebanyakan rumah penduduk di Kampung Puom, Chennah, dekat sini musnah dan roboh akibat dilanda banjir baru-baru ini.
Kejadian yang bermula pada malam 18 Disember itu menyebabkan dia dan penduduk yang berjiran dengannya terpaksa berpaut pada tiga pokok selama lebih enam jam.
Lebih memilukan, kejadian tersebut juga menyebabkan rumah yang berusia 50 tahun yang didiaminya sekeluarga tidak boleh didiami, berada dalam keadaan senget dan beralih beberapa meter dari kedudukan asal.
“Pada masa itu sekitar pukul 12 tengah malam dan air semakin naik terlalu cepat. Terdapat enam kepala air melanda di sekitar rumah yang menyukarkan saya untuk membantu 15 ahli keluarga yang lain.
“Saya terpaksa meminta mereka memanjat tiga pokok iaitu pokok jambu, pokok langsat dan pokok rambutan yang berada di sekeliling rumah. Mereka berpaut di tiga pokok berkenaan sehingga pukul 7 pagi.
“Keesokannya, kami melihat rumah kami sudah beralih, bagaimanapun saya bersyukur sempat menyelamatkan semua ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut semalam.
Tambah Abd. Ghafar, selain pokok-pokok tersebut, ada di antara ahli keluarganya yang terpaksa pula memanjat ke atap rumah kerana bimbang pokok yang menjadi tempat berpaut akan tumbang kerana arus air yang semakin deras.
“Pada waktu itu, kami hanya menjerit sesama kami diatas pokok kerana mahu mengetahui sama ada semua selamat,” katanya.
Abd. Ghafar dalam pada menjelaskan, dia dan keluarga tetap berhasrat untuk membaiki rumah berkenaan dan meletakkan ia kembali ke kedudukan asal. – UTUSAN










