PETALING JAYA: “Perbuatan memalsukan sijil vaksin ini lebih kurang seperti solat menggunakan telekung curi.”
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, pengambilan vaksin Covid-19 berkait rapat dengan isu diplomatik.
“Apabila ada individu yang memalsukan data seperti itu (vaksin), ia sebenarnya berkait rapat dengan isu diplomatik.
“Kita sedia maklum yang kerajaan Arab Saudi telah wajibkan vaksin jadi kita perlu turuti walaupun di Malaysia, vaksin itu tidak wajib.
“Sekarang yang menjadi persoalannya adalah tindakan mereka yang menipu dengan memalsukan sijil vaksinasi tetapi pergi buat ibadat (umrah). Mungkin ibadat itu sah namun dosa kerana menipu itu tetap ada,” katanya di sini, semalam.
Selain itu, Mohd Yusof juga berpandangan supaya Malaysia boleh mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi berkenaan pelepasan jemaah yang tidak menerima vaksin.
“Perkara ini kita tidak tahu sejauh mana ia boleh dibincangkan, namun agak sukar jika Malaysia tidak mewajibkan vaksin tetapi untuk mereka yang hendak mengerjakan umrah perlu mengambil vaksin.
“Kita tidak wajibkan tetapi banyak pula aktiviti yang tersekat jika tidak mengambil vaksin,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.
Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek baru-baru ini.
Suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak September tahun lalu selepas klinik berkenaan mendapat kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.
Dalam tempoh berkenaan, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 diedarkan dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600.
Malah, isu vaksin turut mendapat reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang menyelar tindakan seorang mutawif yang didakwa membawa jemaah tidak divaksin menunaikan umrah.
Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang didakwa dilakukan individu terbabit sedangkan syarat untuk menunaikan ibadah umrah adalah mesti mengambil vaksin. – UTUSAN










