`Kontena terbang' taktik seludup rokok - Utusan Malaysia

`Kontena terbang’ taktik seludup rokok

Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kegiatan ‘kontena terbang’ dikesan masih menjadi pilihan sindiket penyeludupan bagi membawa masuk rokok seludup negara ini.

Ini kerana, melalui taktik ini, sindiket akan mengikrar kontena mereka membawa pelbagai barangan walhal mereka menyembunyikan rokok seludup di tengah-tengah barangan lain yang ada di dalam kontena itu.

Bukan itu sahaja, ada juga ahli sindiket tidak akan mengikrarkan barangan yang dibawa di dalam kontena sebaliknya mendakwa kontena yang dibawa masuk adalah kosong ketika melalui pintu masuk negara.

Mengakui perkara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir memberitahu Utusan Malaysia, hasil maklumat Cawangan Risikan seluruh negara telah berjaya mengesan modus operandi terbaharu sindiket ini dengan menyembunyikan rokok-rokok seludup tersebut di dalam tong cat.

Kata beliau, perkara itu susulan beberapa langkah yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2021 untuk menghentikan dagangan rokok seludup, ia termasuk mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus sahaja selain mengenakan cukai import ke atas rokok yang bertujuan untuk dieksport.

“Istilah kontena terbang memang popular dalam kalangan sindiket penyeludupan. Ini kerana sindiket akan menggunakan syarikat proksi untuk mengikrarkan barangan lain walhal barangan yang dibawa adalah barang dagangan lain termasuk rokok seludup.

“Taktik itu digunakan sindiket ini kononnya untuk mengelak kontena yang dibawa itu diperiksa oleh pegawai kastam yang bertugas” katanya ketika ditemui dalam wawancara khas bersama Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, kata Abdul Latif, sindiket-sindiket penyeludupan ini sering menambah jenis-jenis modus operandi sedia ada yang telah dikenal pasti JKDM.

Kata beliau, selain taktik ‘kontena terbang’ mereka juga mula menyasarkan kawasan pantai di negara ini untuk menyeludup bahan tidak dicukai itu.

“Jika sebelum ini sindiket penyeludupan rokok menyasarkan pelabuhan-pelabuhan besar di Malaysia sebagai laluan utama perdagangan rokok tetapi dengan sekatan terbaharu dilaksanakan, kumpulan penjenayah itu kini menggunakan jeti persendirian kecil dan tapak mendarat tidak rasmi di kawasan pantai.

“Taktik-taktik yang digunakan sindiket ini sentiasa berubah-ubah akan tetapi ia tetap menggunakan cara asal atau traditional. Bila kita (kastam) alpa atau ‘less suspect’, mula sindiket ini mencari cara bagaimana untuk seludup rokok-rokok ini,” jelasnya.

Walaupun pelbagai taktik baharu digunakan sindiket penyeludupan ini, kata Abdul Latif, kesan daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan, JKDM berjaya merekodkan peningkatan hasil rokok pada tahun lalu berbanding 2020 apabila berjaya mengutip RM 3.43 bilion berbanding RM3.27 bilion tahun sebelumnya.

“Dalam pada masa sama, kes penyeludupan rokok di pelabuhan menurun sebanyak 54 kes pada tahun lalu dengan nilai rampasan bernilai RM11.30 juta dengan nilai cukai yang berjaya diselamatkan adalah RM123.69 juta berbanding RM38.05 juta dengan nilai cukai RM137.67 pada tahun 2020,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×