KDN beli 50 bot kegunaan PDRM hadapi bencana banjir - Utusan Malaysia

KDN beli 50 bot kegunaan PDRM hadapi bencana banjir

HAMZAH Zainudin (dua dari kanan) melihat bot jenis Whaly yang diserahkan kepada PDRM dalam lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem PGA Galing, Pahang, semalam. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM3.05 juta untuk membeli 50 bot bagi kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam bencana banjir yang berlaku hampir setiap tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dengan adanya aset dan keperluan tersebut membuktikan pasukan beruniform itu sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi situasi berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, tujuh buah bot jenis Whaly pelbagai saiz dengan nilai RM267,000 telah diserahkan secara rasmi kepada PDRM.

“Bencana banjir adalah sesuatu yang kita anggap fokus paling utama yang perlu diberikan pada waktu ini berikutan seluruh dunia mengalami perubahan fenomena cuaca menyebabkan kita perlu belajar daripada apa yang berlaku walaupun kita sudah faham cara untuk menghadapi bencana dan banjir.

“Dengan itu, sebagai permulaan hari ini kita sudah memperoleh tujuh bot jenis Whaly pelbagai saiz yang begitu lasak dan sesuai digunakan dalam operasi keselamatan serta menyelamat mangsa banjir untuk tempoh terdekat ini.

“Kini, masih berbaki 43 bot lagi yang dijangka diterima dalam tempoh 10 minggu lagi untuk kita serahkan kepada negeri yang memerlukan,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah turut menjelaskan bahawa penyerahan bot tersebut bukan sesuatu yang terlewat namun ia sebagai tambahan aset yang tidak mencukupi apabila berdepan dengan fenomena banjir yang luar biasa.

“Ingin saya maklumkan, kita bukan tidak ada aset cuma tidak mencukupi apabila berdepan dengan fenomena baharu.

“Tambahan pula, kita bukan merupakan agensi penyelamat. Kita hanya barisan hadapan yang tampil membantu lebih awal untuk memaklumkan kepada mereka (mangsa) tentang bencana.

“Sebagai contoh anggota polis perlu memaklumkan kepada mereka yang berada di kawasan banjir untuk keluar namun apabila air naik setinggi empat kaki, kita sendiri pun sukar untuk masuk… jadi bot-bot akan digunakan untuk memberi bantuan awal sementara menunggu kehadiran pasukan penyelamat daripada agensi lain,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, aset-aset baharu itu nanti akan diatur gerak ke kawasan seperti di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

“Walaubagaimanapun negeri lain itu, bergantung kepada tahap keperluan mereka dan penyerahan bot itu akan diberikan selepas mendapat maklumat terperinci tentang tahap keperluan bagi setiap negeri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya