GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkatkan kadar sumbangan Program Penghargaan Warga Emas dan Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) kepada RM200 setahun yang bakal memanfaatkan 217,868 pemohon.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu selaras dengan hasrat yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) untuk meningkatkan lagi kadar bantuan tahunan bagi kedua-dua program itu.
Ujarnya, pada permulaan program itu diperkenalkan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM100 setahun dan kemudian dinaikkan ke RM130 setahun dan sekali lagi dinaikkan pada 2020 kepada RM150 setahun.
Menurutnya, program-program demikian menerusi platform i-Sejahtera telah diwujudkan sejak tahun 2009 dan masih diteruskan sehingga kini.
“Sehingga 19 Januari lalu, jumlah pemohon berdaftar yang direkodkan adalah sebanyak 205,477 orang bagi Program Penghargaan Warga Emas dan 12,391 orang bagi Program Bantuan OKU,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jadual bayaran program i-Sejahtera bagi tahun 2022 telah dijadualkan bermula pada 25 Januari depan dengan kaedah bayaran secara kredit terus ke bank penerima (EFT).
“Kerajaan negeri telah menghentikan kaedah bayaran secara tunai sebagai satu usaha untuk mengekang penularan semula wabak Covid-19.
“Sehubungan itu, pemohon hendaklah mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi penyaluran sumbangan ini dan bayaran akan dilakukan secara berfasa bagi memastikan lebih ramai pemohon dapat menerima sumbangan dalam tahun semasa,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri sedia maklum terdapat sebilangan pemohon yang hanya dapat mengemas kini maklumat akaun bank dalam tahun semasa (2022) dan telah terlepas bayaran bagi tahun 2020 dan tahun 2021.
“Atas dasar keprihatinan kerajaan negeri, bayaran tahun 2020 dan 2021 akan tetap dilakukan kepada semua pemohon yang terlibat bagi fasa bayaran yang dijadualkan pada Mac 2022.
“Selain itu, diingatkan kegagalan mengemas kini maklumat akaun bank sebelum 30 Jun tahun semasa akan menyebabkan bayaran pada tahun tersebut dihapus kira,” katanya. -UTUSAN ONLINE










