SHAH ALAM: Pengurusan Mydin Holdings (M) Berhad (Mydin) sedia bekerjasama dengan polis sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan berhubung insiden pecah masuk sebuah cawangannya yang terjejas banjir di Seksyen 25 di sini minggu lalu.
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, beliau memahami prosedur siasatan pencerobohan di Mydin cawangan Taman Sri Muda itu apabila 31 orang ditahan Isnin lalu.
“Memang saya pernah cakap untuk halalkan kalau orang itu ambil makanan dan barangan keperluan kerana dalam keadaan mereka tengah susah ketika itu, tetapi kalau mereka curi jam tangan mahal, maknanya bukan hendak cari makan tetapi mencuri, itu yang tak patut dihalalkan.
“Dalam kenyataan sebelum ini pun saya cakap, niat halalkan itu untuk orang yang kelaparan, tetapi ada juga curi barang contohnya jam mahal kemudian dia pergi jual untuk beli makanan itu pun kita boleh halalkan. Tetapi mereka yang betul-betul curi barang memang kita tak boleh halalkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, terdapat laporan polis dibuat oleh pihak Mydin baru-baru ini berikutan cawangannya di sana dilanda banjir, namun tindakan itu bertujuan untuk tuntutan insurans.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kenyataannya menghalalkan barangan makanan dan keperluan yang dicuri daripada cawangan pasar rayanya di sana berikutan simpati simpati terhadap mangsa banjir yang kelaparan.
Bagaimanapun, polis kemudian memaklumkan seramai 31 warga asing dicekup bagi membantu siasatan kes pecah dan ceroboh pasar raya.
Dalam pada itu, Ameer Ali memberitahu, pihaknya bersedia mencadangkan pendakwaan di mahkamah digugurkan sekiranya pencuri berkenaan benar-benar mencuri makanan atau barangan keperluan untuk meneruskan hidup ketika ditimpa bencana.
“Tetapi polis ada prosedur, mereka juga ambil tindakan atas laporan saya mungkin selepas polis tengok video tular dan sebagainya untuk dibawa ke mahkamah, saya rasa itu kita tak boleh masuk campur.
“Cuma kita bersedia membantu jika polis meminta keterangan dan jika dapat tahu memang pencuri itu mengambil barang keperluan seperti makanan, memang kita akan minta gugurkan (pendakwaan di mahkamah) sebab kita sudah halalkan,” jelasnya.
Tambahnya, walau bagaimanapun beliau akan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya jika mangsa yang disyaki itu didapati mencuri barangan bukan keperluan. – UTUSAN










