Gangguan seksual: Polis rakam keterangan 11 saksi - Utusan Malaysia

Gangguan seksual: Polis rakam keterangan 11 saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 11 individu dipanggil bagi merakamkan percakapan berhubung kes gangguan seksual didakwa membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis dalam proses melengkapkan siasatan yang melibatkan mangsa, seorang wanita yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu, Bahagian Kota Tinggi.

Menurut beliau, polis Johor akan menggunakan semua sumber yang ada bagi menyiapkan laporan siasatan dengan lebih terperinci.

“Kes ini masih dalam siasatan, memang kita maklum akan siap minggu ini tetapi maklumat masih dikumpul. Kita juga sedang berbincang dengan pihak perundangan untuk kemaskan lagi siasatan.

“Buat masa ini kita telah memanggil 11 individu untuk memberi keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar Op Tapis di Kampung Pandan, di sini hari ini.

Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

Menerusi laporan tular itu, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri ADUN berkenaan bermula dengan kejadian pertama pada 2 Januari lalu namun mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.

Kejadian kedua dan ketiga pula berlaku pada 3 dan 12 Januari namun mangsa mendakwa tidak berani untuk menceritakan perkara itu kerana memikirkan status selain bimbang dinafikan perkara itu.

Mangsa hanya membuat laporan polis selepas diraba di bahagian sulit pada kejadian terakhir berlaku, 13 Januari lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan tuduhan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya.

Rasman berkata, dakwaan berkenaan dilihat sebagai konspirasi politik dan cubaan untuk menjatuhkan maruahnya serta mencalarkan reputasinya selaku seorang wakil rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya