Dos penggalak bukan suntikan terakhir? - Utusan Malaysia

Dos penggalak bukan suntikan terakhir?

Prof. Dr. James Koh (bawah kiri) menjelaskan kebanyakan vaksin memang ada dos penggalaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak awal tahun lepas rakyat Malaysia beratur panjang di pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan dos vaksinasi utama.

Biarpun pada peringkat awal ada sedikit keraguan mengenainya, tetapi pengambilan suntikan vaksin menunjukkan peningkatan dengan sehingga 10 Disember, 97.2 peratus orang dewasa (18 tahun ke atas) mendapat vaksinasi lengkap dua dos.

Peratusan vaksinasi lengkap mencapai 86.8 peratus bagi mereka berusia 12 hingga 17 tahun.

Sebelum ini ada jaminan dos penggalak tidak diperlukan, kenapa berubah?

Realitinya, suntikan dos penggalak diperlukan kerana kesan perlindungan atau tahap peneutralan antibodi bagi semua vaksin, cenderung menurun mengikut peredaran masa.

Ketua dan Perunding Penyakit Berjangkit, Pusat Pengajian Perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. James Koh berkata, suntikan penggalak bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan vaksin memang ada dos penggalaknya.

Contoh, vaksin Hepatitis B, ada tiga dos suntikan, (yang mana dos kedua dan ketiga adalah dos penggalak). Sementara itu suntikan dos penggalak anti-Tetanus, sepatutnya diberikan sekali dalam tempoh setiap 10 tahun. Suntikan vaksin pneumokokal yang memberi perlindungan daripada pneumonia disarankan sekali setiap lima tahun.

“Pemberian penggalak bukannya unik untuk Covid-19 sahaja. Yang menjadi isu sebab kita mungkin tidak biasa dengan vaksin dos penggalak kerana mendapat vaksinasi, bukanlah sesuatu yang biasa bagi kita.

“Macam dos penggalak influenza. Walaupun kita disarankan untuk mendapatkan dos penggalak influenza setiap tahun, namun tidak ramai melakukannya,” katanya.

Keperluan mendapatkan dos penggalak menjadi mendesak kerana majoriti daripada daripada kita, mendapat suntikan vaksin Sinovac sebagai vaksinasi utama pada fasa awal.

Statistik Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (RECoVaM) menunjukkan perlindungan vaksin Sinovac terhadap jangkitan Covid-19 menurun daripada 76 peratus dalam dua bulan pertama selepas vaksinasi lengkap kepada cuma 28 peratus dalam bulan ketiga hingga kelima.

Dr. Koh berkata, kajian antarabangsa turut membenarkan dapatan itu, di mana pada bulan ketiga, tahap peneutralan antibodi dalam vaksin Sinovac, kurang daripada 50 peratus, manakala pada bulan keenam, ia hampir tidak dapat dikesan.

“Bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca, keberkesanannya mula menunjukkan penurunan pada bulan keenam. Oleh itu, penting mendapatkan dos penggalak yang secara asasnya membangkitkan semula sistem imuniti badan kita untuk menghasilkan antibodi,” katanya.

Begitupun katanya, suntikan dos penggalak bukanlah pengakhiran, sebaliknya akan ada dos penggalak lain dan seterusnya.
“Kita tidak tahu banyak mana tetapi yang pasti ini bukanlah yang terakhir,” katanya.

Gabung dan padan
Isu keselamatan apabila dua jenis vaksin dicampurkan turut menimbulkan keraguan. Pada awal November, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) memberikan kebenaran menggabung padankan vaksin berbeza sebagai dos penggalak.

Namun kenyataan Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Sourmya Swaminathan pada Julai lalu mengatakan masih tiada lagi data bagi kaedah gabung padan vaksin ini, justeru individu tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri.

Bagaimanapun beberapa negara sudah pun melancarkan sistem gabung padan vaksin ini menunjukkan hasil yang baik.

Kajian di Singapura mendapati penurunan risiko jangkitan sebanyak 72 peratus apabila mencampurkan vaksinasi utama Pfizer dengan dos penggalak Moderna, berbanding 62 peratus sahaja bagi mereka yang mendapatkan suntikan Pfizer untuk suntikan pertama, kedua dan ketiga.

Data daripada Kementerian Kesihatan Chile menunjukkan campuran vaksinasi utama Sinovac dengan dos penggalak Pfizer menghasilkan kadar keberkesanan sebanyak 95 peratus terhadap virus itu.

Ini adalah satu lonjakan besar berbanding pemberian tiga dos vaksin Sinovac yang menunjukkan keberkesanan sebanyak 74 peratus.

“Saya menggalakkan semua orang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak tanpa mengira campurannya kerana tidak mengambil dos penggalak adalah lebih berbahaya.

“Mengambil apa sahaja dos penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya langsung. Ini bermakna mereka yang mengambil suntikan Sinovac, lambat laun mungkin perlu mendapatkan dos penggalak lebih awal,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti badan yang berkurangan seperti pesakit HIV/AIDS, mereka yang menjalani pemindahan organ atau pesakit barah, dos penggalak barangkali menjadi suntikan dos keempat.

“Sesetengah daripada mereka pada mulanya mungkin perlu mendapatkan tiga dos bagi merangsang sistem imuniti badan untuk menghasilkan antibodi. Bagi mereka ini, dos penggalak adalah dos keempat mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN