JOHOR BAHRU: Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di negeri ini akan mengikut jadual Kementerian Pendidikan bermula 9 dan 10 Januari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, ini susulan keadaan banjir di negeri itu semakin pulih menjelang Ahad ini.
Beliau berkata, ketika ini kerja-kerja pembersihan pasca banjir dijalankan oleh pihak sekolah dengan bantuan pasukan sukarelawan.
“Melihatkan keadaan semasa, sesi persekolahan penggal ketiga boleh dibuka mengikut jadual.. Kini, kerja-kerja pembersihan giat dijalankan dengan bantuan sukarelawan.
“Sepanjang tempoh seminggu bencana banjir negeri ini, sebanyak 40 bangunan sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah.
“Daripada jumlah itu, 29 PPS membabitkan sekolah ini masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir, manakala 11 lagi sudah ditutup,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mazlan memberitahu, 29 sekolah yang masih dijadikan PPS itu membabitkan sembilan buah sekolah di Segamat, Mersing (4), Tangkak (11), Kluang (1), Muar (3) dan Batu Pahat (1).- UTUSAN










