LUMAJANG: Ketika Gunung Berapi Semeru masih meletus dan menghamburkan debu panas, terdapat segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab sibuk berswafoto di lokasi terjejas.
Media tempatan melaporkan, terdapat sejumlah penduduk dari daerah lain sanggup datang ke Lumajang hanya untuk membuat kandungan bagi dimuat naik dalam media sosial masing-masing.
Penduduk Lumajang turut menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah masyarakat yang menganggap lokasi terjejas sebagai tempat untuk ‘bersuka ria’.
“Kami kehilangan harta benda akibat letusan Semeru, kami tidak ada rumah, tidak ada pakaian.
“Tapi, orang luar datang ke sini untuk berswafoto, buat kandungan untuk media sosial, tidakkah anda bersimpati dengan nasib kami?” soal seorang penduduk yang enggan dikenali.
Menurut penduduk setempat, ada juga pengunjung berani masuk ke lokasi paling teruk terjejas tanpa memikirkan bahaya yang boleh berlaku.
Sehubungan itu, penduduk meminta pihak berkuasa mengambil pendekatan segera bagi mengelakkan orang luar datang ke Lumajang hanya untuk swafoto di lokasi terjejas.