PETALING JAYA: Restoran-restoran dalam hotel, medan selera dan kedai makan di hampir semua lokasi yang menerima pelanggan makan di premis paling banyak menyaksikan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi menyekat wabak Covid-19.
Sesiapa sahaja boleh nampak, kebanyakan pelanggan yang teruja untuk menjamu selera sama ada bersama keluarga atau kenalan tidak peduli SOP dan mereka bagaikan sudah lupa negara belum bebas daripada Covid-19.
Antara pelanggaran SOP paling ketara ialah membuka pelitup muka sebaik sahaja berada di meja makan, bersalaman dan banyak juga yang mencantum meja ikut suka hati.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi di restoran dalam pusat beli-belah, hotel atau medan selera di sekitar Selangor menyaksikan bagaimana semakin ramai yang tidak kisah mengenai SOP.
Contoh, di sebuah medan selera di SS 223 Petaling Jaya, kawasan tersebut sentiasa sesak lebih-lebih lagi menjelang hujung minggu sehingga pelanggan duduk antara satu keluarga dengan keluarga lain agak rapat.
Seorang pekerja di kedai tersebut memaklumkan mereka tersepit antara menegur pelanggan menunggu giliran untuk makan atau membiarkan sahaja kerana kehadiran pelanggan ada rezeki mereka.
Beberapa pusat beli-belah di bandar Shah Alam, Cheras, Kajang turut menyaksikan bagaimana meriahnya kebanyakan restoran di premis-premis tersebut terutama pada hujung minggu.
Pengawal keselamatan dalam kalangan warga asing yang menjaga pintu masuk pusat beli-belah tidak berani terlalu `berkeras’ dengan pelanggan kerana mereka berisikon dimarahi
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, mengikut pemerhatiannya, rakyat sudah leka dengan SOP setiap kali berada dalam ruang makan tanpa mengira tempat.
“Tidak kisah di medan selera, majlis keraian atau hotel lima bintang, pelanggaran SOP semakin hari semakin biasa pada waktu makan. Masuk premis pakai pelitup muka, daftar masuk sistem MySejahtera dan guna cecair pembasmi kuman.
“Namun, apabila tarik sahaja kerusi, mereka terus tanggalkan pelitup muka sehingga keluar dari tempat makan,” kata beliau semasa dihubungi semalam.
Menurut beliau,sikap tersebut berisiko kerana pelanggan di tempat makan tidak tahu status setiap individu lain yang datang dari pelbagai tempat.
Katanya, jika kealpaan berterusan, angka jangkitan sudah tentu sukar untuk terus diturunkan lagi dari paras 5,000 kes sehari berbanding angka jangkitan harian di Indonesia kini sekitar ,……
Berikutan itu, Kuljit memberitahu, kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan terutamanya di tempat makan bagi memastikan rakyat tidak lupa SOP.
Dalam pada itu, pengamal undang-undang, Datuk Salleh Buang berkata, adalah mustahil untuk kerajaan menguatkuasakan tindakan secara mandatori bagi menghalang individu yang belum divaksin bercampur gaul dengan kumpulan sudah divaksin di semua lokasi awam termasuk pejabat kerajaan.
“Andainya ada digubal undang-undang seperti itu, mungkin ada pihak yang akan cuba mencabarnya berasaskan diskriminasi hak, iaitu bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak mengambil vaksin tidak boleh disamakan dengan orang yang sudah terbukti menghidap penyakit berjangkit yang boleh dipaksa diasingkan atau dipisahkan daripada orang ramai,” kata beliau.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan perlu menguatkuasakan secara mandatori tindakan menghalang individu yang belum divaksin bercampur gaul dengan kumpulan susah divaksin di semua lokasi awam dan pejabat-pejabat kerajaan.
Tindakan itu disifatkan perlu selepas Malaysia merekodkan kes pertama varian Omicron minggu lalu membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.
Setakat semalam, kes Covid-19 di negara ini mencatatkan 4,262 kes manakala Indonesia mencatatkan sebanyak 250 kes.- UTUSAN










