RM17.5 juta dikutip hari pertama - Utusan Malaysia

RM17.5 juta dikutip hari pertama

ORANG ramai beratur untuk membayar saman trafik di IPD Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak RM17.5 juta saman dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari pertama tawaran diskaun hingga 80 peratus sempena program 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim berkata, kutipan itu diperoleh selepas sebanyak 372,636 saman trafik dijelaskan di seluruh negara sehingga lewat malam semalam.

Malah katanya, kaunter bayaran saman di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dibuka sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia turut mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila merekodkan sebanyak 8,943 saman dijelaskan dengan kutipan berjumlah RM431,330.

“Berdasarkan kutipan terbaharu, kita anggarkan jumlah kutipan saman trafik sehingga akhir tahun ini boleh mencecah RM450 juta dan seterusnya memecahkan rekod kutipan kompaun tertinggi sejak 2012.

“Jumlah itu dijangka meningkat berbanding jumlah kutipan kompaun saman trafik pada tahun lalu sebanyak RM395.4 juta,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, pembayaran dalam talian melalui platform portal dan aplikasi MyBayar Saman yang dilancarkan sejak 25 Mac lalu turut menunjukkan prestasi yang sangat menggalakkan dengan kutipan kompaun berjumlah RM193.9 juta.

Jelasnya, jumlah itu meliputi 44 peratus daripada keseluruhan transaksi pembayaran saman dengan jumlah pengguna berdaftar berjumlah lebih 1.88 juta orang.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut memberitahu, kaunter bayaran saman di di KLCC ditutup serta merta petang semalam bagi mengelakkan berlaku kesesakan dan boleh memberikan risiko kepada berlaku penularan jangkitan Covid-19.

“Berbaki dua hari ini, orang ramai digalakkan membayar saman di kaunter trafik daerah dan kontinjen masing-masing yang dibuka bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang termasuk pada hari cuti hujung minggu, iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad,” jelasnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan orang ramai mengambil sepenuhnya peluang diskaun sehingga 80 peratus saman trafik terpilih sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia dengan menyerbu ke kaunter-kaunter pembayaran seawal 7.30 pagi.

Bukan itu sahaja, laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aplikasi MyBayar juga mengalami gangguan selepas diserbu pengguna yang mahu melangsaikan tunggakan saman.

Di Seremban, orang ramai sanggup beratur kira-kira 500 meter di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dekat sini bagi mengambil kesempatan diskaun 80 peratus itu.

Peniaga, V. Malliga, 50, dari Seremban 2 berkata, dia hadir untuk membayar saman trafik bagi kesalahan memandu laju yang dihadapinya selepas gagal membayar saman menerusi aplikasi MyBayar Saman.

“Untuk mendaftar pun tidak dapat, mungkin terlalu ramai yang menggunakannya.

“Semalam ketika saya lalu di sini memang sudah ramai yang berbaris panjang, saya kembali hari ini tetapi situasinya sama juga,” katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun terpaksa berbaris panjang dan menunggu lebih satu jam, Malliga menambah, ia tetap berbaloi kerana tawaran diskaun yang diberikan sangat banyak.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Haryulden Musa, 40, berkata, dia mengambil cuti pada hari ini semata-mata untuk tujuan membayar saman trafiknya.

“Esok dan lusa tentu akan lebih ramai yang akan datang kerana hari cuti. Saya sudah cuba menggunakan aplikasi MyBayar Saman namun tetap gagal walaupun pada pukul 3 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×