PETALING JAYA: Persidangan Dewan Rakyat akan dilanjutkan hingga Isnin ini , menurut kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat.
Namun begitu, keadaan dewan itu menjadi kecoh kerana Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena-PH) berkata tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ramai ahli Parlimen telah membuat perancangan lain.
“Ahli Parlimen telah mengatur program atau rancangan peribadi kami. Bila tidak dimaklumkan tentang pertambahan ini, ia mengganggu perancangan kami. Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga berkata tidak bersambung kerana staf parlimen juga bercuti.
“Kita sudah atur rancangan untuk bertemu dengan masyarakat yang kita dah banyak terlepas sebelum ini sepanjang masa dewan bersidang.
“Ini sangat saya kesal kerana tindakan ini sangat kelam kabut dan gopoh. Ini seolah-olah RUU ini dibuat di kedai mamak. Pada pendapat saya, ini sangat memalukan. Ini adalah kerajaan gagal,” katanya. -UTUSAN ONLINE









