Negara luar buru doktor kontrak - Utusan Malaysia

Negara luar buru doktor kontrak

Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan diperincikan sebagai maklum balas kepada tuntutan dikemukakan Sekretariat Doktor Hartal Kontrak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika tuntutan 23,000 doktor kontrak untuk diserap ke jawatan tetap belum selesai, beberapa negara luar kini dilihat sedang giat `pancing’ tenaga profesional itu supaya berhijrah dan berkhidmat di luar negara.

Tinjauan Utusan Malaysia di akaun Facebook Hartal Doktor Kontrak melihat terdapat promosi menguar-uarkan menawarkan peluang kerjaya sebagai pengamal perubatan di negara-negara seperti di Singapura, Australia dan Ireland.

Tawaran tersebut dibuat menerusi hantaran di pelbagai platform media sosial yang dikongsi dalam Facebook Hartal Doktor Kontrak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, harapan baharu kepada doktor kontrak yang terumbang-ambing itu bermula dua hingga tiga hari lalu.

“Sejak ada promosi peluang kerja di luar negara itu, kami mula nampak ada harapan untuk meneruskan kepakaran kami di luar negara.

“Justeru, saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai doktor kontrak bakal meninggalkan tanah air kerana sudah ada yang mula memutuskan berhenti lebih awal dan merebut peluang di negara yang tawarkan peluang buat kami,” kata beliau semasa dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, perkembangan tersebut sekali gus membuktikan doktor kontrak tidak akan rugi apa-apa jika kerajaan enggan menunaikan tuntutan mereka sebaliknya perkhidmatan kesihatan awam itu mungkin bakal menerima tempias kekurangan pegawai perubatan lsewaktu kemunculan varian baharu Omicron pandemik Covid-19.

Kata beliau, masalah dibangkitkan kumpulan doktor kontrak bukan baru tetapi sudah bertahun dan sehingga kini tidak selesai.

“Nasib kami terkontang-kanting termasuk dari segi kebajikan dan peluang kerjaya di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya 300 lagi daripada baki 23,000 doktor kontrak dijangka berhenti dalam masa terdekat jika permintaan mereka untuk diserap ke jawatan tetap tidak diselesaikan.

Jumlah mereka yang akan berhenti itu membabitkan mereka yang bakal tamat kontrak dalam masa terdekat termasuk mereka yang sudah mendapat peluang dalam sektor swasta.

Mengulas keputusan penyelesaian isu doktor kontrak bakal diumumkan minggu depan, Dr. Mustapha berkata, pihaknya sudah bosan dengan janji kerajaan kerana bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba sebelum ini turut menyatakan komitmen sama.

Katanya, janji-janji tersebut adakalanya membuatkan kumpulan doktor kontrak musykil dengan niat sebenar kerajaan yang mengheret kes ini sampai lebih lima tahun.

“Sebelum ini kerajaan pernah berikan janji sama, sekarang pun sama. Jadi isu ini tidak nampak ada kesudahan sampai bila-bila,” katanya.

Semalam Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pengumuman keputusan berhubung penyelesaian isu doktor kontrak melibatkan permohonan lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan akan diumumkan minggu depan.

Menurut beliau pengumuman tersebut dibuat selepas isu doktor kontrak dibawa kementeriannya ke dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

“Dalam minggu depan, awak akan tahu. Biar menteri yang umumkan,” kata Noor Azmi ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan kerajaan membuka jawatan tetap baharu secara beransur-ansur selain melanjutkan kontrak doktor kepada 10 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Dr. Koh Kar Chai berkata, ini antara cadangan diberikan MMA sebagai penyelesaian kepada tuntutan doktor kontrak.

“Pembukaan jawatan tetap secara beransur-ansur dan juga melanjutkan kontrak doktor kepada 10 tahun bagi membolehkan pengkhususan (specialisation) diyakini dapat mengurangkan ketegangan antara Kementerian Kesihatan dan kumpulan doktor kontrak.

“Pada masa sama, larangan sementara (moratorium) diperlukan ke atas pengambilan pelajar perubatan ke sekolah perubatan tempatan dan antarabangsa juga boleh dilakukan bagi memastikan bilangan doktor kontrak terus bertambah,” jelas beliau.

Menurut beliau, sekarang ini terdapat 34 buah institusi perubatan tempatan dan antarabangsa yang setiap tahun menghasilkan antara 3,000 hingga 6,000 gradua.

Katanya, jika institusi perubatan itu meneruskan pengambilan pelajar, maka isu ini tidak dapat diselesaikan malah bilangan doktor kontrak akan bertambah.

Beliau mengakui, ramai dalam kalangan doktor tiada pilihan selain mencari peluang pekerjaan di luar negara dan sesetengah doktor juga berkemungkinan melepaskan kerjaya perubatannya kerana kecewa dengan sistem kerjaya sebagai doktor.

“Jika masalah ini berterusan, Malaysia akan menghadapi kekurangan pakar dalam sektor kerajaan mengakibatkan penambahan masalah kemudahan kesihatan awam yang semakin sesak.

“Profesion perubatan juga tidak lagi menarik minat lepasan sekolah kerana prospek kerjaya yang terhad di negara ini,” ujarnya.

“Dalam minggu depan, awak akan tahu. Biar menteri yang umumkan,” kata beliau ketika ditemui semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×