Motosikal elektrik ES-11 dilancarkan - Utusan Malaysia

Motosikal elektrik ES-11 dilancarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: NanoMalaysia Berhad (NMB) dan Eclimo Sdn. Bhd. melancarkan motosikal elektrik dengan Sistem Pemantauan Bateri Berstruktur Nano (BMS), dikenali sebagai ES-11 Eclimo.

Motosikal ES-11 mempunyai sistem pengecas palam 3 pin yang tidak memerlukan stesen pengecas yang khusus. Ini memberikan kemudahan dan penyelesaian kepada masalah kekurangan infrastruktur pengecas yang menyokong penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Ia turut dilengkapi sel Bateri Lithium-Ion Berasaskan Nano yang mempunyai kitaran hayat sebanyak 1,000 kali cas dan setiap cas membolehkan perjalanan sejauh 100 kilometer yang  menjimatkan sehingga tujuh kilogram pelepasan karbon dioksida.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pelancaran ES-11 membuktikan komitmen MOSTI untuk mencapai hasrat menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang 2050.

Ujarnya, MOSTI percaya pelancaran ES-11 dapat membantu usaha negara bagi menyertai industri EV yang bernilai berbilion ringgit untuk membantu memulihkan ekonomi negara pascapandemik dan berpeluang besar memasuki pasaran negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“ES-11 menggunakan sistem pemantauan bateri berstruktur nano dalam motosikal ini. Kelebihan sistem ini adalah ia memberikan pengguna pemantauan penuh terhadap kesihatan bateri dan apabila voltan bateri jatuh, amaran akan diberikan terus kepada pengguna.

“Bukan itu sahaja, ES-11 turut dimuatkan dengan sistem penjejakan yang boleh dikawal menggunakan aplikasi mudah alih seperti telefon bimbit dan lebih membanggakan, ES-11 telah direka, dibangunkan dan dihasilkan 100 peratus oleh bakat tempatan,” katanya dalam Majlis Pelancaran E-motosikal ES-11 Eclimo, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad memaklumkan, ES-11 dibangunkan dan dibuat sepenuhnya di Malaysia dan kelebihan ini akan mewujudkan rantaian bekalan tempatan yang bernilai tinggi selain keupayaan untuk merebut pasaran EV lain yang sedang berkembang seperti Indonesia menerusi matlamat mobiliti elektrik yang jelas.

“Negara jiran kita mempunyai permintaan kenderaan dua roda yang tinggi dan sedang mencari peluang untuk mengguna pakai motosikal elektrik pada kadar yang cepat dengan jualan kenderaan dua roda di Indonesia dijangka mencapai 6.4 juta unit menjelang 2030 dengan 1.9 juta unit terdiri daripada motosikal elektrik. 

“Justeru, Malaysia perlu mengekalkan kelebihan teknologi dan inovasi sekurang-kurangnya dalam kalangan negara Asean dan memiliki kelebihan pasaran dalam komponen EV bernilai tinggi yang dipertingkatkan dengan nanoteknologi,” ujarnya.

ES-11 telah melalui ujian berskala komersial bagi perkhidmatan penghantaran makanan, barangan runcit, produk perubatan serta bungkusan e-dagang.

Motosikal itu dijual pada harga RM14,000 dan telah berada di pasaran melalui model perniagaan sewa di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. 

Ketika ini, terdapat 58 unit ES-11 yang telah dibina dan 41 unit telah disewakan kepada rakan-rakan industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.