LZS terus salur bantuan ringan beban asnaf - Utusan Malaysia

LZS terus salur bantuan ringan beban asnaf

ANHAR Opir (kiri) bersama Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini (dua kiri) ketika menyampaikan sumbangan bantuan pendidikan kepada penerima pada Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Sesi Persekolahan Tahun 2022 Negeri Selangor di UKM, Bangi Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah penerima bantuan pendidikan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi sesi persekolahan 2022 menunjukkan penurunan dengan 66,160 penerima melibatkan pengagihan peruntukan keseluruhan hampir RM32.6 juta kepada 31,954 ketua keluarga.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd. Sabirin Sarbini berkata, meskipun berkurangan sedikit, namun LZS tetap menyalurkan bantuan bagi meringankan beban golongan asnaf dalam kalangan fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor.

“Bantuan sebegini telah lama diwujudkan LZS bagi menampung kos kewangan terpaksa yang ditanggung ketua keluarga asnaf menjelang pembukaan sesi sekolah,” katanya ketika berucap pada Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Persekolahan Sesi 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Majlis penyerahan simbolik melibatkan 10 penerima itu disempurnakan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan disaksikan Ketua Pusat Islam UKM, Muhammad Tajuddin Abdul Rahim.

Uniknya, untuk kali ini, ujar beliau, tempoh penebusan tanpa tunai bagi bantuan keperluan itu yang sudah pun bermula hari ini tetapi dipanjangkan lagi sehingga 28 Februari depan iaitu sebelum penggal pertama persekolahan baharu dibuka pada awal Mac 2022 itu dengan mengambil contoh pengalaman tahun ini yang disebabkan kesan wabak Covid-19.

Sekadar perbandingan, LZS memperuntukkan agihan untuk sesi 2021 yang berjumlah lebih RM34.6 juta dengan meliputi 70,258 pelajar daripada 32,722 ketua keluarga asnaf terbabit.

Sementara sesi 2020 pula sebelum muncul Covid-19, agensi itu memperuntukkan sebanyak RM32.9 juta dengan meliputi 65,956 pelajar daripada 30,718 ketua keluarga asnaf terlibat.

Keadaan fizikal murid yang bertambah disebabkan terlalu lama berada di rumah kata beliau, menyaksikan sebahagian besar ibu bapa terpaksa membeli lagi uniform pada saat-saat akhir.

“Justeru bagi elak timbul isu saiz pakaian seragam yang tidak sesuai, LZS telah melonggarkan tempoh sah tebus baucar bantuan ini beberapa hari sebelum sekolah mula dibuka,” jelasnya.

Kadar bantuan kekal sama iaitu RM170 seorang untuk sekolah rendah kebangsaan, RM150 untuk sekolah rendah agama dan RM200 untuk sekolah menengah kebangsaan atau agama.

Pada masa sama, Mohd. Sarbini menambah, bantuan yuran persekolahan juga diberikan bergantung kepada tahap pengajian daripada RM100 sehingga RM250 setiap murid tersebut.

Lebih menarik, katanya, setiap pelajar juga menerima tambahan RM100 yang secara purata satu keluarga asnaf bakal mendapat mengikut tanggungan sehingga maksimum RM2,000 yang disalurkan sama ada pindahan kredit ke akaun bank ketua keluarga atau baucar tunai ditebus di cawangan Bank Islam atau pemberian langsung wang tunai bagi kes tertentu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN