BUTTERWORTH: Sebanyak RM176,478 dikutip Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam tempoh enam hari pelaksanaan tawaran diskaun sehingga 80 peratus yang bermula Khamis lalu.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, sehingga semalam sebanyak 3,571 transaksi bayaran saman direkodkan meliputi kelima-lima daerah negeri itu.
Menurut beliau, seramai 1,709 pelanggan telah melakukan pembayaran di kaunter dari 9 Disember sehingga semalam.
“Kita dapati kesalahan memandu melebihi had laju mendominasi jumlah keseluruhan saman yang dibayar oleh individu mahupun syarikat.
“Saman kedua tertinggi pula membabitkan kesalahan tiada lesen memandu.
“Ramai yang ambil kesempatan untuk melunaskan saman tertunggak memandangkan peluang ini tidak akan datang dua kali,” katanya selepas menghadiri Program Hi Tea Bersama Media di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedia maklum tawaran diskaun telah dilanjutkan sehingga 31 Disember, namun pembayaran awal dijangka dapat mengelakkan kesulitan di saat akhir.
“Pada hari pertama pelancaran diskaun pada 9 Disember lalu, kita dapati seramai 112 pelanggan datang membuat bayaran malah ada yang menunggu seawal 6.30 pagi untuk membuat pembayaran saman.
“Bagaimanapun, jumlah pelanggan yang datang ke kaunter berkurangan memandangkan bayaran saman turut boleh dilakukan menerusi pandu lalu dan dalam talian,” katanya. – UTUSAN