MUKADIMAH
Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh dikatakan menjadi ‘kuasa ketiga’ dalam masyarakat Cina negeri itu.
PSB cukup bersedia sampaikan beria-ia bertanding 70 kerusi. Parti itu percaya ‘sentimen’ rakyat benar-benar mahukan perubahan.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bertemu Soon Koh, bekas menteri kewangan II Sarawak itu semalam di ambang 48 jam sebelum pengundian.
Apa perkembangan kempen PSB?
Walaupun masih ada beberapa kawasan kami tidak dapat turun padang kerana kekangan logistik dan faktor geografi, persiapan kami sudah rapi.
Berapa kerusi boleh menang?
Sukar nak meramalnya sebab banyak penjuru. Undi pasti berpecah. Cuma saya bimbang orang tidak keluar mengundi disebabkan pandemik ini.
Sentimen rakyat kepada PSB okey tak?
Di peringkat bawah, sentimen untuk berubah itu ada dan auranya sangat kuat. Sudah 58 tahun Sarawak masih ketinggalan dalam segenap aspek. Inilah masanya untuk berubah. Adakah sentimen ini dapat diterjemahkan ke undi, tunggulah Sabtu.
Benarkah ramai ahli PSB keluar parti dan sokong Gabungan Parti Sarawak (GPS)?
Itu berlaku di Mukah dan mereka bukan ahli kami. Dahulu, mereka pernah menyokong tetapi tidak pernah pun berdaftar dengan parti.
Masih ada ruangkah untuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP?
PSB tidak bersekutu dengan sesiapa. Jika selepas pilihan raya mahu kerjasama, kita boleh duduk berbincang. Tapi kami sebolehnya mahu berdikari dengan perjuangkan prinsip Sarawak For Sarawakian. – UTUSAN










