9 negeri panas seludup PATI ke Malaysia - Utusan Malaysia

9 negeri panas seludup PATI ke Malaysia

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan selepas memasuki negara secara haram ketika mendarat di Jeti Parit Karang, Tangkak, Johor.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengenal pasti sembilan negeri berdekatan perairan Selat Melaka sebagai lokasi ‘panas’ sindiket penyeludupan migran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kawasan utara di Kedah dan Perlis seperti Kuala Perlis, Simpang Empat, Sungai Baru, Sanglang serta Pulau Rebak dikesan sering dijadikan laluan percubaan sindiket berkenaan.

Menurutnya, sindiket penyeludupan turut mengambil kesempatan melakukan aktiviti di Pulau Pinang seperti Pulau Kendi, Sungai Juru dan Seberang Perai.

Dedah beliau, turut berlakunya cubaan pencerobohan adalah di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan, Kuala Selangor serta Tanjung Sepat dekat sini.

“Turut dikesan di Melaka dan Negeri Sembilan melibatkan Kuala Kesam, Teluk Kemang, Kuala Sepang dan Pulau Perjudi serta Tanjung Dahan manakala Perak meliputi Hutan Melintang, Pasir Panjang, Pantai Remis, Bagan Panchor dan Kuala Kurau.

“Di Johor melibatkan Parit Jawa, sepanjang Tanjung Penyusup sehingga Tanjung Pengelih selain penyeludup ini menyasarkan beberapa kawasan di Sabah Barat seperti Kudat, Pitas, Sandakan dan Tawau,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Zubil, lokasi tersebut menjadi tumpuan kerana dekat dengan negara jiran selain keadaan kawasan itu yang dirasakan mudah bagi tekong bot membawa migran untuk mendarat.

“Berdasarkan maklumat, PATI (warga asing tanpa izin) akan menggunakan khidmat tekong laut dan darat sebagai ‘orang tengah’ yang mana perjalanan pengangkutan bagi keluar dan masuk mereka ke negara ini adalah sebanyak dua kali seminggu.

“Bbot yang digunakan juga boleh memuatkan 20 orang untuk satu perjalanan,”jelasnya.

Kata beliau, PATI yang menaiki bot-bot tersebut akan terjun di kawasan semalam berhampiran pantai sebelum mereka berenang ke daratdan menuju ke destinasi yang diingini.

Menurut Mohd. Zubil, meskipun sindiket penyeludupan ini sentiasa menukar taktik dalam menjalankan kegiatan mereka, Maritim Malaysia akan memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan itu.

Perkara ini jelas apabila sebanyak 281 kes melibatkan tangkapan PATI dilakukan Maritim Malaysia sejak 2019 sehingga Oktober lalu.

“Tangkapan tertinggi dilakukan pada 2019 apabila 131 kes direkodkan diikuti 2020 (90 kes) dan Januari sehingga Oktober lalu (60 kes).

“Dari keseluruhan kes tangkapan, sebanyak 2,082 orang PATI berjaya ditahan yang mana sebanyak 793 individu mempunyai kerakyatan Indonesia diikuti Myanmar (649 individu),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN