ANALISIS
MENJELANG tiga hari sebelum pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, parti politik mula merancakkan strategi kempen dengan harapan mendapat mandat daripada rakyat.
Kalau sebelum ini pendekatan lembut menemui rakyat ketika ‘menjual’ manifesto, kini serangan agresif menyentuh calon dan parti mula berleluasa dalam pentas media sosial seolah-olah tiada sekatan langsung. Ada unsur reformis dalam kempen yang bertukar dari lembut kepada garang.
Habis cerita calon dilondehkan. Tuduh menuduh antaranya tentang projek pasir, hutan simpan dan peruntukan rakyat antara makanan cybertroopers masing-masing yang menjadikan suhu pilihan raya semakin panas.
Pun begitu masih ada calon menyantuni rakyat dengan kaedah lebih bersopan dengan menawarkan tawaran seperti dalam manifesto. Walaupun dikatakan kurang menyengat, namun kaedah bersemuka itu membolehkan pengundi mengenali calon di kawasan masing-masing.
Kempen agresif pada asasnya tidak memberikan kesan jangka panjang. Kaedah ini pernah pada satu ketika digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di era 90an yang mana kesudahannya tidak memihak kepada parti. Sebaliknya rekod parti akan menjadi ukuran.
Persoalannya, berbaloikah berkempen cara sebegitu. Tidak dinafikan isu yang diketengahkan menarik pembaca dan menjadikan laman sosial mencapai hit tinggi yang menguntungkan pemilik akaun berkenaan. Tapi sejauh mana ia meninggalkan kesan kepada pengundi.
Malah, bukan semua netizen yang mengikuti cerita-cerita panas adalah orang Melaka yang mengundi, sebaliknya lebih kepada penyokong dari luar Melaka. Bukan pengundi pun.
Jika tersilap langkah boleh jadi cerita berpanjangan sampai ke mahkamah. Realitinya keadaan ini dipengaruhi daripada peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh kempen bagi mengelak peristiwa semasa PRN di Sabah sebelum ini.
Populariti kempen seperti itu diminati anak muda di bawah usia 40 tahun. Darah muda sentiasa menyirap berbanding kelompok usia lebih 40 tahun yang lebih memahami asam garam politik di negara ini.
Statistik usia pengundi di Melaka menunjukkan kelompok usia 30 hingga 39 tahun merupakan golongan paling ramai iaitu 61,786 mewakili lelaki dan 60,487 wanita. Bagi kategori usia 21 hingga 29 tahun pula, lelaki mewakili 33,805 orang manakala 33,927 adalah wanita.
Jurang perbezaan dengan kelompok usia 40 tahun dan ke atas sangat besar walaupun dari segi komposisi angka usia 40 tahun hingga 90 tahun melebihi kelompok muda berkenaan.
Sebab itu, kempen parti yang bertanding lebih cenderung memilih pentas media sosial untuk menarik pengundi muda berbanding pendekatan rumah ke rumah yang agak perlahan.
Walaupun data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan angka yang besar, namun kebarangkalian pengundi-pengundi ini terutama usia antara 21 tahun hingga 39 tahun untuk pulang mengundi sukar diramal berdasarkan keberadaan mereka di negeri-negeri lain.
Pengalaman PRN Sabah yang menyebabkan penyebaran kluster Covid-19 masih menjadi igauan yang dikhuatiri menyebabkan peratus keluar mengundi tidak seperti yang diharapkan. – UTUSAN










