KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) menumpaskan sindiket nikah haram didalangi individu digelar ‘Lebai Loh’, yang dipercayai menguruskan perkahwinan tanpa tauliah di Thailand.
Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, Lebai Loh seorang bekas imam ditahan dalam serbuan oleh penguat kuasa jabatan itu di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai pada 28 Oktober lalu.
Kata beliau, berdasarkan siasatan, sindiket yang menguruskan perkahwinan di Thailand itu didapati tiada kelayakan sebagai wali hakim di negara ini dan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 berbanding bayaran sebenar RM125.
“Dalam serbuan , pihak JHEAIK turut merampas beberapa dokumen berkait dengan perkahwinan seperti borang dikeluarkan jabatan agama di Thailand.
“Kegiatan sindiket Lebai Loh ini dipercayai bergiat aktif sejak sekian lama dan mungkin sudah ramai pasangan mendapatkan perkhidmatan bekas imam itu termasuk penduduk dari luar Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Susulan pembongkaran sindiket tersebut kata beliau, pasangan yang bernikah menggunakan khidmat Lebai Loh diminta berhubung dengan JHEAIK untuk mengesahkan sama ada pernikahan mereka sah mengikut hukum syarak atau sebaliknya.
“Kita juga mahu pasangan yang berkahwin termasuk yang berpoligami sebelum 2005 supaya tampil di JHEAIK untuk daftarkan semula perkahwinan menerusi Program Pemutihan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran Sah,” katanya.
Che Mohd. Rahim dalam pada itu berkata, setakat ini pihak JHEAIK tidak mempunyai maklumat berkaitan bilangan sebenar pasangan bernikah di luar negara yang menggunakan khidmat sindiket tersebut.
Sebelum sindiket Lebai Loh tambah beliau, JHEAIK juga pernah menumpaskan sindiket nikah haram ‘Imam Wahab’ di Rantau Panjang, ‘Imam Che Mud’ di Machang ‘Bekas Imam Muda’ di Ketereh. – UTUSAN










