GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM113 juta dan menahan 6,778 individu sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, selain itu polis turut berjaya merampas aset berkaitan kes dadah bernilai RM31.4 juta sepanjang tempoh yang sama.
Menurut beliau, sepanjang tempoh sama JSJN negeri telah melancarkan sebanyak 30 Op Sarang di sekitar Pulau Pinang dan menahan 609 orang atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.
“Polis akan terus berusaha bagi memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah dan memperkasa penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Dalam pada itu tambah beliau, menerusi Op Sarang yang dijalankan Isnin lalu di sekitar daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU), polis menahan 66 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 19 hingga 60 tahun kerana terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Operasi itu dijalankan serentak di daerah Barat Daya dan SPU bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 petang.
“Antara lokasi serbuan adalah di sekitar Teluk Kumbar, Batu Maung dan Teluk Bahang (Barat Daya) serta di Pekan Darat dan kawasan lain sekitar SPU,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan yang ditahan bekerja sebagai buruh dan nelayan dan dalam operasi itu juga polis berjaya merampas dadah jenis syabu, heroin dan cecair ketum bernilai RM1,768. -UTUSAN ONLINE










