Rakyat tolak caj 20 sen beg plastik - Utusan Malaysia

Rakyat tolak caj 20 sen beg plastik

KERATAN akhbar Mingguan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai pengguna menolak caj 20 sen untuk beg plastik di pasar raya dan kedai-kedai serbaneka yang dianggap tidak berpatutan.

Mereka menganggap pengenaan caj itu sebagai menguntungkan sebelah pihak iaitu pengurusan pasar raya dan kedai-kedai serbaneka sebaliknya merugikan pengguna.

Pensyarah, Haliza Harun, 50, berkata, pengenaan caj 20 sen bagi beg plastik itu hanya menjimatkan kos penyediaan beg plastik pihak berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila pasar raya meletakkan harga satu beg plastik adalah 20 sen, pengguna terpaksa membayar lebih walaupun nilainya kecil. Caj pula tidak konsisten kerana ada pasar raya yang meletakkan caj tambahan 20 sen bagi setiap plastik.

“Apabila pengguna membeli sejumlah barang yang banyak di pasar raya besar, juruwang menggunakan banyak beg plastik untuk membungkus barang dan ada kalanya barang tersebut tidak penuh dalam beg plastik tersebut, tetapi terus menggunakan beg plastik lain. Jadi, caj menjadi lebih.

“Yang akhirnya merugikan adalah pengguna kerana mereka masih perlu membayar caj beg plastik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu seorang usahawan, Siti Shafiyah Mohamad Hafiz, 24, berkata, dia keliru kerana setiap kedai mempunyai sistem yang tidak selari dan berbeza.

“Setiap kedai mempunyai sistem berlainan. Pengguna akan rugi apabila caj dikenakan untuk setiap beg plastik. Namun, sekiranya hanya sekali sahaja cas dikenakan tanpa mengira jumlah plastik yang digunakan, ia tidak menjadi masalah, ” katanya.

Pengurus Guardian Bangi Seksyen 3, Nur Fatimah Md. Ruzli, 28, pula berkata, kebanyakan pengguna tidak kisah untuk membayar nilai 20 sen tersebut yang dianggap kecil.

“Meskipun caj sebanyak 20 sen dikenakan namun, ramai pengguna yang tidak kisah untuk membayar jumlah tersebut. Ini kerana kebanyakan dari pengguna tidak mempunyai beg simpanan sendiri ketika berbelanja,” kongsinya.

Seterusnya, seorang pelajar, NorLiyana Ramli, 23, berkata, tidak menjadi masalah sekiranya dia perlu membayar caj tambahan untuk penggunaan beg plastik. Ini kerana ia dianggap sebagai kos pengeluaran untuk pasar raya, jadi wajarlah jika pengguna perlu membuat pembayaran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×