Polis tunggu pengesahan keberadaan Sajat - Utusan Malaysia

Polis tunggu pengesahan keberadaan Sajat

MUHAMMAD SAJJAD KAMARUZZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu pengesahan rasmi dari Thailand dan Australia berhubung keberadaan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya setakat ini mengambil maklum mengenai keberadaan Sajat yang mengakui berada di Australia melalui media sosial, namun pengesahan rasmi perlu dilakukan.

“Kita sudah hantar pemakluman kepada kedutaan di Thailand dan Australia untuk membuat pengesahan sama ada dia sudah keluar dari Thailand serta sampai ke Australia, namun belum mendapat kata putus lagi.

“Bagaimanapun, sekiranya kita terima pengesahan dia di Australia, kita akan cuba salur maklumat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abd. Jalil berkata, ia terpulang kepada hak kedaulatan negara tersebut.

Sebelum ini, Sajat memuat naik video secara langsung melalui Instagram (IG) miliknya dengan berkongsi gambar rumah baharunya di Canterbury, Australia.

Malah, dia kini berasa sangat terharu dengan mendakwa kedutaan negara itu banyak memberi sokongan terhadapnya dari pelbagai aspek.

“Saya sekarang berada di Australia, tak nak pandang belakang dah. Saya sekarang sedang menjalani kuarantin, tak sabar nak habis dua minggu nanti nak pergi jalan-jalan.

“Dekat sini, saya dikelilingi orang yang mengambil berat tentang diri saya dan temui kebahagiaan dekat sini. Kedutaan Australia banyak sokong saya macam hantar pergi kelas tambahan, perbaiki skill bisnes dan kelas bahasa Inggeris serta beri rumah,” dakwanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN