KEMAMAN: Pengusaha van sekolah masih menanggung derita berikutan gagal mencari rezeki menerusi perkhidmatan itu walaupun sesi persekolahan kembali dibuka.
Kamariah Abdullah, 59, berkata, keadaan itu disebabkan kebanyakan ibu bapa selesa menghantar anak masing-masing menggunakan kenderaan sendiri berbanding menaiki van sekolah, sekali gus menyekat peluang mereka untuk menjana pendapatan.
Katanya, tidak berbaloi untuk para pengusaha meneruskan perkhidmatan itu kerana didesak menerima bayaran separuh harga susulan kedatangan pelajar secara bergilir ke sekolah.
“Semasa kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah, saya membelanjakan hampir RM2,000 bagi membawa van dan bas sekolah menjalani ujian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), tetapi hingga kini belum mendapat pulangan modal.
“Jadi, saya terpaksa bergantung harap kepada jualan nasi lemak RM1 dan nasi ayam RM5 untuk mencari rezeki buat keluarga,” katanya semalam.
Menurut Kamariah, walaupun berdepan isu kenaikan harga barang, dia masih mengekalkan harga makanan di gerai tepi jalannya itu.
Katanya, jumlah keuntungan tidak seberapa kerana harga barang mentah semakin mahal, malah dua hari lalu, harga beras dan ikan bilis didakwa naik RM2 manakala ayam terus melambung.
“Saya amat mengharapkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2021 untuk meringankan perbelanjaan keluarga di samping bagi membeli barangan jualan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










