PATI tunggu giliran masuk Malaysia - Utusan Malaysia

PATI tunggu giliran masuk Malaysia

ANGGOTA Maritim Malaysia akan bertindak lebih agresif bagi menyekat kemasukan PATI Indonesia- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini menunggu masa dan giliran untuk masuk semula ke Malaysia selepas kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi negara terutama perladangan dan pembinaan sejak awal bulan lalu.

Maklumat hasil risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu memaksa agensi berkenaan meningkatkan rondaan dan memantau rapi kawasan perairan terutama di Selangor, Melaka, Johor dan Perak bagi menyekat kemasukan PATI.

Risikan itu juga mendapati, kira-kira 3,000 warga Indonesia sedang menunggu giliran untuk dibawa masuk secara haram dari Sumatera ke perairan Selangor.

Namun, menyedari tindakan agensi penguatkuasaan Malaysia itu, tekong-tekong tidak boleh lagi menggunakan taktik lama untuk menyeludup masuk pendatang terbabit.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, tekong kini mengubah taktik dengan setiap bot dikesan membawa kumpulan kecil sekitar 20 hingga 30 pendatang sahaja.

Menurut beliau, kos bagi setiap PATI antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu kepala dengan perjalanan menggunakan bot bersaiz lebih kecil yang memakan masa enam hingga lapan jam bagi satu hala perjalanan.

“Mengikut maklumat risikan, setiap minggu terdapat kira-kira 100 dan 150 PATI dari negara jiran itu dikenal pasti mahu merentas sempadan secara haram ke Selangor.

“Maritim Malaysia menganggarkan hingga hujung tahun ini, Selangor akan menerima kemasukan PATI Indonesia sehingga 3,000 orang jika tidak berjaya disekat. Ini menerusi jangkaan antara 100 hingga 150 PATI setiap minggu cuba memasuki negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, Maritim Malaysia sentiasa mengawasi perairan negara dengan beberapa siri tangkapan dan pengusiran terus dilakukan oleh Bot Penggalang 10 milik Maritim Malaysia.

“Pada 19 Oktober lalu, Bot Penggalang mengejar bot KM Sinar Utama dinaiki kira-kira 40 disyaki PATI pada pukul 2 pagi di Pantai Morib, Kuala Langat berjaya mengusirnya,” kata beliau.

Menurut beliau, PATI akan menggunakan laluan perairan Selat Melaka dan mendarat di sepanjang pantai di Selangor iaitu seperti di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Di Sumatera pula, lokasi panas yang menjadi tempat PATI berlepas ialah di Tanjong Balai di Asahan, Panipahan, Bagansiapiapi dan Pulau Rupat.

“Lokasi berlepas terletak kira-kira 70 hingga 160 kilometer dari perairan di Selangor seperti di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam,” kata beliau.

Jelasnya, sebaik kerajaan mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi, berlaku peningkatan kemasukan PATI lebih 50 peratus jika dibandingkan pada tahun lalu.

“Dari bulan Januari sampai Jun, ada sekatan jalan raya di darat, kemudian ada Operasi (Op) Benteng di laut, jadi ruang untuk pergerakan mereka memang terbatas,” kata beliau.

Mengulas lanjut, katanya, kemasukan kumpulan tersebut dipercayai membabitkan mereka yang pernah bekerja di sini tetapi pulang secara haram ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada Mac 2019.

Kata Mohammad Rosli, Maritim Malaysia terpaksa lebih agresif mengesan kemasukan PATI yang sering menukar taktik membawa warga asing termasuk kemungkinan tekong bersekongkol dengan nelayan tempatan yang gelap mata sanggup menjadi tali barut membawa PATI.

“Antara taktik licik lain ialah PATI bertolak dari jeti menggunakan bot nelayan pergi ke tengah laut, kemudian mereka disambut dengan bot lain dari negara ini sebelum mendarat di mana-mana lokasi yang dikesan selamat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Rosli berkata, pihaknya belum pernah menahan nelayan yang terlibat ‘menyambut’ PATI di tengah laut untuk dibawa ke daratan.

“Pertukaran bot membawa PATI biasanya berlaku di perairan Indonesia dan kalau kita dapat maklumat, kita tak sempat gerak ke sana kerana mereka pasti sudah beredar dan membawa PATI terbabit masuk ke kawasan pantai.

“Selain itu, bot sedemikian sukar dikesan kerana terdapat banyak nelayan pantai di Selangor menggunakan saiz bot yang sama untuk menangkap ikan,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN