PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) hari ini mengorak langkah sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menggunakan kaedah End Live Vehicle (ELV) bagi menyelesaikan masalah lambakan kenderaan buruk.
Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain dalam kenyataan berkata, ELV adalah proses mengitar semula kenderaan dengan tahap pematuhan standard yang ketat terutama menekankan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, melalui proses ELZ, setiap kenderaan akan dileraikan secara teratur mengikut kaedah SW422 (piawaian Jabatan Alam Sekitar).
“Komponen yang tidak dapat dikitar semula akan dihantar ke Kualiti Alam atau Pentas Flora untuk proses rawatan lanjut.
“MPKj bakal menjalinkan Projek Rintis Kerjasama Pintar (Smart Partnership) bersama Car Medic Sdn. Bhd. bagi menyelesaikan masalah kenderaan buruk yang dijangka bermula pada 1 Disember 2021,” kata beliau semalam.
Tambah Najmuddin, melalui kerjasama pintar ini juga, pihak Car Medic akan menunda semua kenderaan buruk (kereta,bas, lori, kenderaan perdagangan dan kenderaan berat) yang telah dinotis oleh MPKj ke depoh simpanan kenderaan buruk di Bandar Baru Bangi.
“Selepas selesai proses lucut hak dan perundangan maka kenderaan ini ditunda semula ke Depoh Car Medic untuk proses ELV.
“Pada masa kini keupayaan dan kemampuan untuk menunda kenderaan buruk sedia ada adalah terhad.
“MPKj mempunyai tiga buah trak tunda konvensional dan dengan kawasan pentadbiran yang luas hanya 40 sehingga 50 buah kenderaan dapat ditunda dalam tempoh sebulan,” jelasnya.-UTUSAN