Ramadan selalu datang dengan rasa yang sangat sukar digambarkan. Udara terasa berbeza, doa yang lebih dekat dan hati mahu kembali kepada yang Satu.
Disusun niat, diperlahankan langkah, kita semua mencari makna dalam istilah kesederhanaan.
Dalam kesederhanaan itulah, saya terjumpa satu jenama tempatan yang begitu dekat di hati iaitu Bambina, satu istilah manja untuk little girl.
Ironinya, dalam bulan yang mengajak kita kembali kepada fitrah, nama itu sendiri seperti satu pelukan kepada diri kecil dalam diri kita.
Kisahnya bermula pada tahun 2018 apabila Shida Khuthairi menjadi seorang ibu dan menyedari betapa sukarnya mencari pakaian kanak-kanak yang benar-benar berkualiti dan selesa.
Bila idea itu dikongsi dengan sahabatnya, Intan Rohani, ia bukan sekadar perbualan minum kopi. Ia menjadi visi bersama.
Dua ibu dengan dua anak perempuan kecil, membina sesuatu yang lahir daripada kasih dan keinginan untuk memberi yang terbaik.
Nama Bambina dipilih begitu lembut, manis dan penuh makna.
Sebagai wanita Malaysia, tekanan yang datang dalam pelbagai bentuk seperti standard kecantikan, saiz badan dan jangkaan masyarakat.
Apa yang saya hargai tentang Bambina ialah pendekatan yang meraikan bentuk tubuh sebenar.

Inklusiviti bukan sekadar slogan, tetapi diterjemah dalam potongan yang memberi ruang untuk wanita bernafas, bergerak dan menjadi diri sendiri.
Cantik itu bukan tentang muat dalam satu definisi sempit. Cantik itu tentang bagaimana kita berdiri dengan yakin, walau dalam kesederhanaan.
Koleksi terbaharu mereka, Semusim, terasa begitu tepat dengan musim Ramadan ini.
Motifnya ada sentuhan nostalgia, seperti memori lama yang kita simpan dalam lipatan hati.
Rekaannya ringkas tetapi penuh perincian halus. Praktikal, selesa dan sesuai untuk hari-hari yang panjang. Dari sahur ke tarawih.
Antara kegemaran saya ialah kurung kalthum anggun rona kuning butter.
Ia mengingatkan saya kepada kuntum bunga yang baru mekar. Perlahan, lembut, tetapi penuh potensi.
Diperbuat daripada printed dobby cotton dengan tekstur yang ringan dan beralun sederhana, ia sangat selesa untuk dipakai.
Leher klasik dengan butang berbalut sendiri memberi sentuhan tradisi, manakala perincian pelepah di belakang menjadi identiti istimewa Bambina.
Poket tersembunyi di sisi sangat praktikal kerana wanita sentiasa ada sesuatu untuk dibawa.
Sulaman Bunga Lawang di lengan dan hujung kain menambah keindahan yang tidak keterlaluan.
Belahan sisi tinggi dan kain gaya lilit pario memberi ruang pergerakan yang semula jadi. Tersedia dalam saiz XS, SM dan LXL, ia benar-benar inklusif.
Untuk gaya, saya bayangkan, rekaan ini dipadankan dengan selendang polos rona krim atau sage, sandal minimal bertumit rendah dan beg tangan kecil berstruktur.
Jika mahu sentuhan lebih moden, tambahkan tali pinggang nipis untuk definisi siluet.
Ringkas, anggun dan bersedia untuk iftar bersama keluarga atau majlis kecil di surau.

Satu lagi yang saya pasti semua nantikan ialah kurung che chom polka yang akan dilancarkan pada 25 Februari ini.
Ada sesuatu yang sangat sentimental tentangnya. Seperti melihat arwah nenek dalam kurung kegemarannya, tetapi dengan perincian lebih segar dan anggun.
Ia mengajar kita warisan tidak pernah lapuk, cuma perlu ditafsir semula dengan keberanian.
Ramadan mengingatkan kita pembaharuan tidak perlu radikal. Kadang-kadang ia bermula dengan niat yang jujur, langkah kecil dan pakaian yang membuat kita rasa selesa dalam kulit sendiri.
Dalam perjalanan itu, percayalah, kelembutanmu adalah kekuatanmu. Senyumlah. Musim ini milikmu.










