PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kempen secara maya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan keputusan yang tidak diteliti secara mendalam kerana bukan semua kawasan negeri itu mempunyai capaian internet.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, meskipun mereka mempunyai kelebihan memikat pengundi menerusi kempen secara maya khususnya dalam kalangan pengundi muda dan kawasan bandar, namun ia dilihat tidak adil kepada parti lain.
Jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, langkah itu seolah-olah menafikan amalan demokrasi untuk mana-mana individu dan parti berkempen kepada para pengundi.
“Apa ertinya jika berkempen pilihan raya tidak dapat bertemu dengan pengundi? Berapa ramai dalam kalangan pengundi mempunyai telefon pintar termasuk golongan muda tidak kemampuan untuk membelinya.
“Akses demokrasi sebenar bertemu pengundi,” katanya.
Kementerian Kesihatan sebelum ini menetapkan aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November ini.
Sehingga kini, tiga parti telah dikompaun kerana melanggar SOP iaitu Barisan Nasional (BN), PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, meskipun kempen maya norma baharu bagi mengelakkan peningkatan kes Covid-19, namun pendekatan itu kekurangan sentuhan kerana tidak boleh bertemu dengan calon dengan lebih dekat.
“Jika berkempen di alam maya, ia hanya akan mendapat perhatian pengundi yg mempunyai akses kepada internet dan media sosial. Warga emas atau pengundi di kawasan luar bandar yang tiada media sosial tidak dapat dicapai melalui kempen secara maya ini,” katanya.
Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii, BN mempunyai kelebihan dalam kempen media sosial kerana banyak isu melibatkan PH terdapat dalam laman-laman web yang boleh diakses para pengundi pada setiap masa.
“Ramai tahu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, BN tidak popular di media sosial apabila PH banyak memainkan isu manifesto dan isu negatif, namun senjata itu telah memakan diri mereka apabila selepas sahaja menjadi kerajaan, mereka gagal melaksanakan janji.
“Kali ini, BN punyai banyak kelebihan, banyak isu PH terdapat di laman sosial,” katanya. – UTUSAN







