JOHOR BAHRU: Seorang lelaki sanggup menceroboh pusat jagaan orang tua untuk melempiaskan nafsunya dengan melakukan perkara tidak senonoh terhadap seorang warga emas berusia 71 tahun di Rumah Kebajikan Orang Tua di Seri Alam, tengah malam semalam.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam, suspek yang merupakan pencari besi buruk itu menceroboh masuk ke pusat penjagaan orang tua melalui tingkap di tingkat bawah tidak bertutup.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu oleh pemilik rumah kebajikan orang tua tersebut setelah dia dimaklumkan pekerja pada pukul 8 pagi hari yang sama.
Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlihat seorang lelaki tempatan telah menceroboh masuk dan melakukan perkara tidak senonoh terhadap mangsa wanita tempatan yang merupakan penghuni rumah tersebut yang sedang tidur.
“Berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan sekitar Desa Cemerlang di sini kira-kira pukul 8 malam hasil maklumat risikan.
“Penahanan suspek itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik rumah kebajikan orang tua berkenaan yang mendakwa pihaknya telah merakam satu perbuatan memecah masuk ke premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, penahanan suspek itu turut membawa kepada penemuan beberapa barangan termasuk pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kesalahan berkenaan.
“Berdasarkan barangan dirampas dan rakaman CCTV yang diperoleh, polis mendapati ia adalah sama dengan pakaian digunakan suspek ketika kejadian itu.
“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek turut mempunyai satu empat rekod jenayah termasuk tiga membabitkan dadah,” katanya.
Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – UTUSAN ONLINE










