KUALA LUMPUR: Majoriti Ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Keluarga Malaysia mengharapkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, perkara itu dibincangkan dalam satu perjumpaan malam kelmarin yang terdiri Ahli Parlimen UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kami amat mengharapkan Perdana Menteri selaku ketua delegasi daripada UMNO yang telah diberi mandat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Presiden parti yang bermesyuarat Khamis lalu untuk membuat keputusan kerjasama, dalam erti kata tidak akan bertembung antara satu sama lain.
“Kita percaya jika dapat dijayakan, kita akan memenangi PRN Melaka dengan kemenangan yang besar,” tegasnya.
Perjumpaan itu turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan beberapa ahli Parlimen Pas serta Bersatu yang lain.
Mengesahkan perjumpaan itu, Ahmad Maslan ketika ditemui berkata, beliau mengambil maklum perkara tersebut dan akan dibawa kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Perdana Menteri untuk memutuskan langkah seterusnya.
“Memang betul tiga orang itu diberi mandat iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan. Keputusan selanjutnya selepas mesyuarat MKT sebelum penamaan calon dan sebelum pengundian.
“Itu pandangan mereka dan kita hormati yang hadir itu. Hari ni saya akan sampaikan kepada mereka,” ujarnya. – UTUSAN







