‘An’ pemimpin tanpa protokol - Utusan Malaysia

‘An’ pemimpin tanpa protokol

SULAIMAN Md. Ali dalam satu sidang akhbar di Kampung Ayer Merbau, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nama Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bukanlah asing bagi masyarakat di Parlimen Masjid Tanah.

Andai tidak menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka ke-12 sekalipun, susuk tubuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu cukup dikenali orang ramai terutama pengundi di kerusi berkenaan.

Maka, tidak hairanlah Sulaiman yang menggelarkan dirinya dengan panggilan ‘An’ mampu mengekalkan kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) daripada dirampas Pakatan Harapan (PH), meskipun menang sekadar majoriti tipis 627 undian.

Sejak mengetuai pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2020, imej berkopiah putih, baju Melayu Teluk Belanga dan meletakkan kain rida’ di atas bahu apabila tiap kali menyantuni masyarakat cukup disenangi rakyat di negeri ini terutama orang Melayu.

Karakter Sulaiman yang cuba mempamerkan dirinya sebagai pemimpin tanpa protokol adalah tawaran terbaik buat Barisan Nasional (BN), meyakinkan pengundi di Lendu dan Melaka amnya.

Meskipun sudah bergelar ADUN Lendu selama dua penggal sejak PRU-13, keadaan itu bukanlah penghalang besar bagi UMNO untuk mengekalkan beliau.

Tiga pemimpin berkuasa menentukan pencalonan iaitu Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengekalkan Sulaiman atas beberapa perkara.

Seandainya ‘An’ tidak dikekalkan, ia sama sahajalah seperti mengiyakan tuduhan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa, Sulaiman hanyalah boneka kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

BN dan UMNO perlu berani menawarkan kembali Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri Melaka ke-13, sama seperti dilakukan DAP menamakan Adly Zahari demi memenangi ‘perang saraf’ berkaitan persepsi.

Pada PRU-13, Sulaiman selaku muka baharu memenangi kerusi Lendu dengan majoriti 2,503 undian menewaskan calon Pas, Asri Shaik Abdul Aziz.

Seterusnya, PRU-14 menyaksikan pertembungan sengit tiga penjuru antara BN dengan calon PH, Ir. Ridhuan Dion Bakar dan calon Pas, Arshad Mohamad Som. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN