KUALA LUMPUR : Aktor Hollywood, Alec Baldwin akhirnya membuka mulut mengenai tragedi di set penggambaran filem Rust yang telah mengorbankan seorang pengarah sinematografi, Halyna Hutchins baru-baru ini.
Menurut Alec, sudah tentu dirinya juga berasa sedih dengan tragedi yang menimpa apalagi menganggap mendiang bukan sahaja seorang petugas belakang tabir yang berdedikasi, tetapi juga sudah seperti rakannya sendiri.
“Wanita yang meninggal itu adalah sahabat saya sendiri. Pada hari saya tiba di Santa Fe untuk memulakan penggambaran, saya ada mengajaknya untuk makan malam bersama pengarah, Joel.
“Dia adalah seorang kru yang sangat, sangat baik. Penggambaran filem berjalan dengan baik pada awalnya dan kemudian peristiwa mengerikan itu terjadi,”katanya dalam satu temubual bersama sebuah akhbar antarabangsa.
Selain itu, Alec juga mengaku telah menghubungi suami Halyna, Matthew Hutchins dan anak mereka yang berusia 9 tahun, Andros lantaran benar-benar khuatir mengenai kesihatan mental keluarga Halyna pasca tragedi tersebut.
“Kami terus berhubungan dengan keluarga Hutchins kerana sangat bimbang dengan keadaan keluarga dan anaknya.
“Tidak ada kata-kata untuk melahirkan rasa terkejut dan kesedihan saya mengenai kecelakaan yang tragis ini. Ia telah meragut nyawa Halyna, seorang isteri, ibu dan rakan sekerja kami semua yang sangtat dikagumi,”katanya.
Dalam pada itu, kata Alec, dia tidak mahu mengulas panjang mengenai siasatan pihak polis kerana tidak mahu mengganggu tugas penguatkuasa.
“Bagaimanapun setiap hari, saya akan mengikuti perkembangan kes ini dan tidak sabar menanti pihak yang berwajib untuk menetapkan pertemuan bagi membantu siasatan,”katanya.
Baru-baru ini, Alec telah menggemparkan dunia lakonan Hollywood apabila dia tidak sengaja melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol yang digunakan sebagai prop lakonan sehingga menyebabkan kematian Halyna dalam kejadian yang berlaku di New Mexico itu.
Halyna yang berusia 42 tahun meninggal dunia ketika sedang dirawat di hospital manakala pengarahnya pula, Joel Souza berusia 48 tahun cedera juga akibat terkena tembakan tersebut.
Terdahulu, Alec semasa latihan lakonan difahamkan oleh kru bertugas bahawa senjata itu selamat digunakan dan tidak berisi peluru berbahaya.