fbpx

8 Disember 2021, 3:01 pm

Yayasan Peneraju sasar tingkat kelestarian, kebolehpasaran bakat Bumiputera melalui Belanjawan 2022

MOHD. MUZZAMMIL ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penularan COVID-19 memberi impak besar kepada seluruh ekosistem negara meliputi politik, ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan. Kemelut ekonomi negara menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan sehingga memberi tekanan kepada seluruh rakyat.

Menurut Jabatan Perangkaan, krisis berganda kesihatan dan ekonomi menyebabkan kadar pengangguran meningkat daripada 3.3 peratus pada 2019 kepada 4.5 peratus 2020, paras tertinggi sejak 1993 iaitu 4.3 peratus.

Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 26 September lalu, dinyatakan bahawa Bumiputera adalah dalam kumpulan yang mudah terjejas kepada keadaan ekonomi.

Memasuki tahun kedua pandemik, kadar pengangguran direkodkan 4.8 peratus pada Jun 2021 membabitkan 768,700 individu susulan pelaksanaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Selain itu, bilangan siswazah menganggur meningkat 22.5 peratus kepada 202,400 pada 2020 berbanding 165,200 tahun sebelumnya dengan 70 peratus daripadanya adalah graduan Bumiputera.

Penganalisis dari firma Penyelidikan EMIR Research juga berpandangan, golongan belia antara paling teruk terjejas. Malah, sebelum pandemik melanda pengangguran belia kekal tinggi pada 35.6 peratus dan majoriti terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi.

Sehubungan itu, Yayasan Peneraju berharap Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan pada 29 Oktober ini, merupakan belanjawan yang memfokuskan kepada pemerkasaan latihan dan juga profesional anak-anak muda Bumiputera terutama mereka daripada kumpulan yang paling terkesan.

Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama kami adalah meningkatkan kualiti dan kuantiti bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.

Hingga kini, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih 40,000 penerima faedah di seluruh negara melalui 350 program pembiayaan kami, membabitkan agihan peruntukan RM860.7 juta dalam tempoh sembilan tahun.

Malah, kejayaan Yayasan Peneraju turut disebut dalam pembentangan RMK12. Antara yang disentuh adalah kejayaan kami dalam RMK11. Menerusi aspek Pembangunan Komuniti Ekonomi Bumiputera, kami membantu memberi peluang kepada 28,109 peserta program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional dalam tempoh 2016 hingga 2020.

Justeru, bagi menghadapi cabaran pasca pandemik, belia, penuntut dan siswazah harus dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk lebih kompetitif bagi memenuhi kehendak semasa pasaran pekerjaan.

Kami di Yayasan Peneraju sentiasa peka dan memastikan penerima faedah yang mengikuti program kami dilengkapkan dengan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan di samping kemahiran serta ilmu teknikal agar mereka mempunyai elemen “marketability” dan “employability”.

Mengorak langkah ke 2022, kami akan meneruskan program-program sedia ada serta meluaskan penawaran program-program mengikut permintaan pasaran dan industri.

Khusus di bawah teras Peneraju Teknologi, Yayasan Peneraju menawarkan pensijilan yang dikehendaki pasaran seperti Big Data Analytics, Cybersecurity, Cloud Solutions dan Kecerdasan Buatan (AI).  Penawaran program teknologi dikembangkan seiring kemajuan teknologi terutama dalam fasa pandemik COVID-19.

Program Peneraju Spesialis pula menyasarkan pegawai/pelatih perubatan sama ada berjawatan tetap atau kontrak yang belum mendapat tajaan daripada Kerajaan Persekutuan atau badan penaja lain dalam merealisasi aspirasi mereka untuk menjadi pakar perubatan melalui kerjasama bersama Kementerian Kesihatan dalam program Parallel Pathway.

Dalam kepesatan ekonomi gig adalah penting untuk memastikan golongan belia terus dibangunkan termasuk penghantar makanan (food riders) melalui latihan pembangunan dan komunikasi Bahasa Inggeris melalui kerjasama bersama Food Panda dan SOLS Edu.  Mereka akan diberikan latihan jangka pendek atau jangka panjang bagi meningkatkan kemahiran komunikasi di samping memantapkan pembangunan kendiri.

Di bawah program High Impact Programme (HIP) pula, kami menawarkan kursus jangka pendek yang fokus kepada reskill dan upskill secara dalam talian. Antara kursus ditawarkan termasuk kewangan, pemasaran digital, halal, kebolehpasaran pekerjaan dan AI Data Labeling (yang mempunyai elemen keusahawanan).

Mulai 2021, kami memperkenalkan kerangka baharu di bawah  Peneraju Tunas yang disebut BRIDGE. Ia terbuka untuk penerima daripada keluarga kurang mampu dan tumpuan akan diberikan kepada Nurture & Development Programme (NDP) untuk melengkapkan peserta dengan kemahiran insaniah abad ke-21.

Bagi 2021, sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan bagi membiayai seramai 10,770 penerima faedah baharu dan 5,990 penerima faedah sedia ada. Setakat September 2021, lebih 5,500 penerima faedah baharu telah menyertai program Yayasan Peneraju.

Bagi 2022, Yayasan Peneraju menyasarkan peruntukkan sebanyak RM186 juta bagi membiayai 10,445 penerima faedah baharu dan 7,500 penerima faedah sedia ada. Oleh itu, Yayasan Peneraju berharap kerajaan memberi sokongan padu dan peruntukan di bawah Belanjawan 2022 agar kami terus fokus menerusi inisiatif train and place serta place and train. Ini penting untuk memastikan mereka yang mengikut latihan akan terus mendapat pekerjaan sebaik selesai program.

Sebagai agensi yang menyediakan peluang lebih besar kepada bakat Bumiputera, Yayasan Peneraju sentiasa meneliti peluang untuk meluaskan penawaran program dan kumpulan sasaran supaya lebih inklusif selaras dengan agenda negara melahirkan ‘Keluarga Malaysia yang Makmur, Inklusif dan Mampan’.

PENULIS adalah Kol. Bersekutu (PA) Ts. Mohd. Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. – UTUSAN

 

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI