PETALING JAYA: Pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC diberikan tempoh sehingga Sabtu ini bagi menamakan venue rasmi yang akan digunakan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Kelonggaran itu diberikan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk soal masa, memandangkan bermula hari ini (2 Julai) Liga Bolasepak Malaysia MFL) sudah bergerak ke venue lain bagi melakukan penilaian.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya dimaklumkan Imigresen FC mahu menggunakan stadium di utara Semenanjung sebagai gelanggang rasmi.
“Sehingga kini kita masih belum menerima apa-apa maklum balas rasmi daripada pasukan Imigresen FC dan pihak sekretariat juga sentiasa berhubung dengan mereka.
“Kita sedia maklum mereka sedang dalam proses akhir untuk menamakan venue dan sekarang kita masih menunggu makluman rasmi daripada Imigresen FC.
“Pada 2 Julai (hari ini) MFL sudah mula bergerak ke semua venue bagi membuat pemeriksaan untuk memastikan venue mengikut piawaian ditetapkan iaitu daripada sudut peraturan pertandingan, komersial, media, penyiaran dan juga perlesenan kelab.
“Kita serah kepada pasukan Imigesen FC tetapi kita dimaklumkan mereka masih mencari venue di belah Utara. Selewat-lewatnya sebelum 5 Julai Imigresen FC perlu menamakan venue mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Shazli juga memaklumkan MFL juga akan berkunjung ke Brunei untuk melakukan taklimat khas kepada DPMM FC yang kini kembali ke saingan Liga Super. – UTUSAN










