SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) menempah tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan Imigresen FC, 1-0, dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam pusingan pertama di Pulau Pinang 17 Januari lalu.
Kedudukan itu mendorong kedua-dua pasukan melakukan asakan sebaik perlawanan dimulakan bagi mencari gol awal.
Pada minit ke-20 NSFC memperoleh sepakan sudut. Namun tendangan sudut Jovan Motika ditepis keluar penjaga gol Imigresen FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.
NSFC hampir memecahkan kebuntuan mendapatkan gol sulung pada minit ke-32 melalui sepakan percuma di luar kotak penalti lawan.
Namun, tandukan An Sangsu terkena tiang kiri gol pasukan pelawat dan bola berjaya dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh Muhammad Zarif Irfan.
Minit ke-45 pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti namun Muhammad Zarif Irfan terus mempamerkan aksi cemerlang dengan menepis sepakan Takumi Sasaki.
NSFC akhirnya menemui sentuhan gol apabila Luqman Hakim Shamsudin bertindak cemerlang melepaskan sepakan padu bola yang dilorongkan kepadanya pada minit ke-61.
Dua minit selepas itu, Imigresen FC hampir menyamakan kedudukan tetapi jaringan Mohammad Fayadh Mohd. Zulkifli dibatalkan kerana telah offside.
Dengan kemenangan itu, NSFC akan bertemu dengan Selangor FC pada suku akhir Piala Malaysia. – UTUSAN










